KISAH BUHUNG 2008 – Part 2

Di Alam Mana pun; Kita Tetap Sahabat

 

——-Pintu rumah itu kubuka perlahan-lahan sebelum aku menjengah ke dalam ruang utama rumah empat tingkat itu.

——- “Apahal terhendap-hendap macam pencuri tu Momo?” kedengaran suatu suara menegur perbuatanku. Aku berpaling kearah suara itu, dan seperti yang kujangka pemilik suara itu adalah seseorang yang sedang menghirup Nestum dari mug birunya.

——- “Hehe…saja-saja nak tengok korang tengah buat apa,” kataku sambil merampas mug dari tangan Bobo. Isinya kuhirup sampai habis. Emm, sedap juga ya. Patutlah ketagih. Mug yang sudah kosong itu kuserahkan kembali kepada Bobo; yang memerhatikannya dengan pandangan sayu.

——-Ketika Bobo melangkah ke dapur untuk membancuh minuman kegemaranya, aku melemparkan pandangan kearah ruang lepak rumah itu. Kelihatan tiga orang gadis sebayaku sedang leka menonton rancangan Jepun tanpa sebarang sari kata di bawahnya.

——- “Cambest je? Cerita apa ni?” tanyaku kepada sesiapa sahaja yang sudi menjawabnya.

——-“Shimotsuma Monogatari,” balas Dodo yang duduk paling hampir dengan televisyen. Ahh..ingin sekali aku menyertai mereka menonton filem Jepun itu, tapi…

——-“Eh, korang tak kerja ke hari ni ?”

——-“Hari ni 16 September laa…” Lolo menempelakku kerana telah terlupa bahawa hari itu adalah hari cuti sempena ulang tahun penubuhan Malaysia.

——- “Hmm…bestla korang boleh cuti. Saya jugak kena kerja hari ni,” keluhku sendirian. Bobo yang baru tiba dengan Nestumnya menyertai yang lain menonton Shimotsuma Monogatari, seolah-olah tidak ada seorang pun yang mengendahkan keluhanku. Mata mereka semua telah terpaku pada skrin televisyen.

——- “Mana Yoyo?” tanyaku lagi, mugkin buat kali terakhir. Bosan juga bercakap bila tak dilayan.

——- “Kat restoran dia la mana lagi,” sekali lagi Lolo menempelakku.

——- “Awak shooting lagi ke hari ni Momo?” Nono mengacukan soalan sebelum aku mula merajuk. Hehe.. nasib baik…

——- “Emm hari ni tengah hari kat studio. Petang kang kena pergi interview orang pulak untuk rancangan malam esok,” kataku sambil melangkah menuju ke kamarku di tingkat atas.

——- “Momo, jangan lupa reunion kita bulan depan. Tiket dah beli,” tiba-tiba Dodo mengingatkanku tentang rancangan kami.

——- “Okey…” jawabku, acuh tak acuh.

. : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : .

——-Perkarangan Sri Pentas kelihatan agak sibuk ketika aku melangkah keluar dari kereta Vios milikku. Dari jauh dapat kulihat satu rombongan pelajar sekolah entah dari mana sedang turun dari bas sekolah di hadapan pintu utama. “Ahh… ini yang malas ni,” detik hatiku.

——-“Eh, Mas Elyna la! Jom kawan-kawan!” jerit salah seorang pelajar perempuan dari rombongan itu. Apa yang kujangka telahpun berlaku. Seramai 30 orang pelajar sekolah menengah sedang mengerumuniku. Wajahku yang baru lepas disolek dilimpahi cahaya flash dari kamera mereka. Ahh… pening kepalaku.

——-Selesai melayani kumpulan pelajar tersebut, aku melangkah masuk ke dalam bangunan itu, menaiki lif dan menekan punat yang tertera nombor ‘5′. Di dalam lif aku membetulkan tudungku yang hampir sahaja tercabut ditarik pelajar-pelajar tadi. Ergh…

——-“Hai Achik, serabut nampak. Kena serbu ke tadi?” tanya penerbit rancangan kelolaanku sambil menyusun fail-fail di atas mejanya. Di atas meja itu juga tertera plat nama yang bertulis ‘MIMI DALINA’.

——- “Biasalah Mimi…” kataku sambil melangkah malas ke bilik make-up.

——-Selesai didandan, aku menuju ke studio untuk menunaikan tugasku sebagai pembaca berita. Aku memeriksa bahan berita yang diberikan padaku satu-persatu. Ahh…terasa berdenyut-denyut kepalaku sejak tadi.

——- “Amboi monyok nampak Mas. Ceria la sikit nak masuk TV nih,” tegur seorang jurukamera padaku. Walaupun aku tidak dapat melihat wajahnya kerana silau dengan suluhan lampu studio, namun aku dapat mengecam suaranya.

——- “Yela Shah… orang taula. Pening kepala sikit lepas kena serbu time-time tengahari macam ni,” bicaraku sambil menghenyakkan tubuhku ke atas kerusi pembaca berita. Jam menunjukkan pukul 12.59 tengahari. Aku mendengar arahan Mimi dari alat di telingaku, yang juga aku tidak tahu namanya. Mungkin aku malas hendak ambil pusing tentang nama alatan di sekelilingku.

——-Shah memberi isyarat kepadaku untuk memulakan countdown, dan…

——- “Assalamualaikum dan salam sejahtera. Sambutan hari ulangtahun penubuhan Malaysia hari ini disambut secara meriah di Dataran KLCC bermula pukul 7 pagi tadi. Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir dalam upacara perbarisan berkata, . . .”

. : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : .

——-Jam kereta Viosku menunjukkan pukul 3.24 petang. Aku memusingkan stereng untuk memasuki kawasan universiti itu. Di bahagian hadapannya tertera tulisan UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA. Aku mengangkat tangan ke arah pengawal di pintu masuk utama. Setelah meletakkan kereta di tempat yang sepatutnya, aku mengejutkan jurukamera yang sedang nyenyak tidur di bahagian tempat duduk penumpang di sebelahku.

——-“Shah…bangun. Sampai dah ni. Tu lap mulut tu,” kataku sambil menghulurkan tisu kepada Shah Erhan. Dia mengelap sisa-sisa toksid di mulutnya, diikuti dengan menggosok mata dan mengeluarkan sikat dari poketnya.

——-“Cepatlah, karang kalau dah balik orang tu susah kita dibuatnya,” aku cuba memberi sedikit tekanan kepada Shah yang sedang menyikat rambutnya, lagak seorang model lelaki yang baru memenangi pertandingan Hero Remaja.

——-“Yela yela…taula awak tu tak sabar nak mintak tips naikkan berat badan kan?” katanya sambil mengambil peralatan rakaman video di bahagian belakang kereta. Aku memuncungkan bibirku tanda menyampah dengan usikannya sebentar tadi. Takkanlah aku hendak lepaskan peluang bila dapat berjumpa pakar kesihatan yang paling popular sekarang ini. Sudahlah berat badan aku yang kurus ini semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.

——-Aku dan Shah Erhan melangkah ke arah bangunan Fakulti Kesihatan. Shah kulihat masih lagi mamai, menguap sekurang-kurangnya 20 kali sehinggalah kami sampai ke tempat yang dituju.

——-“Masuk,” ucap seseorang dari dalam setelah aku memberi salam dan mengetuk pintu biliknya.

——-“Terima kasih Prof, saya Mas Elyna, ini jurukamera saya Shah Erhan,” kataku sambil melihat Prof. Dr. Mior Azrizal menjabat tangan Shah Erhan.

——-“Ya, err… sila… sila duduk,” seolah-olah ada riak kegugupan pada wajahnya. Hmm… pelik juga. Dalam rancangan di televisyen dia kelihatan begitu yakin sekali.

——-“Jadi Prof, boleh kita mulakan temubual kita untuk topik yang saya beritahu Prof dalam telefon semalam?” tanyaku.

——- “Ya.. ya… err, silakan,” balasnya tanpa melihat wajahku. Hmm… memang pelik professor muda ni. Agaknya dia belum biasa diwawancara dalam biliknya sendiri. Tapi kalau tak silap minggu lepas ada satu segmen berita yang memerlukan pendapatnya, dan aku amat pasti ia dirakamkan dalam bilik ini. Ah, biarkanlah. Yang penting kerja aku siap.

. : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : .

——-Aku menghempaskan tubuh ke atas tilam empuk katilku. Ohh… sungguh selesa rasanya dapat berbaring di atas katil sendiri setelah seharian bekerja. Rasa dingin dari penyaman udara mula membuatkan mataku terasa mengantuk.

——- “Baru balik Momo?” suara Nono mengejutkanku yang baru hendak terlelap.

——- “A’a… letih betullah hari ni,” kataku sambil mengiringkan badan ke arah Nono.

——- “Esok macam mana pulak jadual?” soalan Nono tidak dapat terus kujawab. Aku mengambil sedikit masa untuk mengingat jadual kerja esok. Hari Rabu…hmm…

——-Sambil mataku terarah ke siling bilik, aku menerangkan apa sahaja yang aku dapat ingat berkenaan jadual esok, “Pagi esok ada lecture kejap, lepas tu meeting dengan Dekan. Lepas tu baca berita, edit bahan semalam. Malam pulak kena siapkan design yang customer mintak hari tu. Oh ya, malam esok nak buat video call dengan Ayumi-chan. Tolong ingatkan saya, ya,”

——- “Okey… Amboi sibuk sungguh awak ya. Tapikan, awak bestla… Jeles saya kadang-kadang,” Nono memandangku dengan mata yang berkaca.

——- “Nampak macam best, tapi Tuhan saja yang tahu,” jawabku sambil merenung ke arah Nono.

——- “Bestla, awak ada banyak kerja. Tak ramai yang bertuah macam awak Momo,” tuturnya lagi.

——-Aku bangun lantas menukar posisi kepada duduk di birai katil, “Awak tak tahu Nono, saya sentiasa risau…”

——- “Risau apa lagi Momo? Kerja awak banyak. Kalau awak hilang satu kerja, ada banyak lagi kerja menanti. Tak ada satu apa pun yang perlu awak takutkan,” suaranya sedikit bergetar menerangkan itu.

——-Aku menundukkan kepala, merenung kosong ke arah kaki katil, “Saya risau Nono, sebab…” Aku diam sejenak, menarik nafas sedalamnya sebelum menyambung bicara.

——- “Hati ibarat kaca, semakin tinggi ia diangkat, semakin hancur ia terhempas…” butir-butir kataku menyebabkan Nono tersentak seketika, seraya tersenyum dan mengangguk penuh makna.

Bersambung…

Advertisements