KISAH BUHUNG 2008 – Part 3

Simbiosis Antara Kita

——- “Baiklah, kalau tak ada soalan, setakat ini sahaja kelas kita pagi ini. Terima kasih,” kataku sambil memadamkan whiteboard di hadapanku. Pelajar-pelajar DDZ2302 berpusu-pusu keluar dari kelas setelah mengemaskan barang masing-masing. Waktu pertukaran kelas menyebabkan keadaan agak hingar-bingar di Blok H pada ketika itu.

——- “Cik, biar saya tolong padamkan,” kata seorang pelajar kepadaku.

——- “Terima kasih,” ucapku sambil menyerahkan pemadam whiteboard kepadanya. Secara tidak sengaja mataku terpandang kad matrik yang tergantung di lehernya.

——- “Mas Elyza… nama awak hampir sama dengan nama saya,” kurenung wajahnya untuk mencari persamaan antara kami. Kata orang, nama melambangkan personaliti.

——- “A’ah. Cik tak perasan ke selama ni?” tanya gadis itu kembali.

——- Pertanyaannya membuatkan aku termalu sendiri. Nampak sangat aku tidak pernah memeriksa kehadiran pelajar sebelum ini. Kesibukan jadual harian membataskan tumpuanku sebagai pensyarah, “Err…tak perasan pulak. Ramai orang dalam kelas ni. Lagipun kelas baru dua minggu bermula.”

——- Gadis itu tersenyum sinis padaku. Entah apa yang difikirkannya. Kata-katanya tadi membantutkan niatku untuk bertanya lebih lanjut tentang asal-usulnya. Laptop di atas meja itu kusimpan semula di dalam beg.

——- “Okey, jumpa lagi minggu depan,” kata gadis itu setelah melangsaikan tugasnya. Aku hanya mampu menghadiahkan senyuman kepadanya, tatkala pandanganku mengiringinya keluar dari kelas itu dengan tangannya membimbit buku teks ‘Japanese Anime & Manga’.

. : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : .

——- Kuarahkan sepasang kakiku melangkah perlahan menuju ke bangunan Canselori. Mindaku ligat memikirkan kemungkinan yang bakal berlaku sebentar lagi. Ahh…kenapa aku dipanggil tiba-tiba begini? Mungkinkah ada makhluk berasa tidak selesa dengan keadaanku yang ‘multitasking’ saban hari? Ergh mengapa harus ada yang tidak selesa dengan keadaanku pula, sedangkan aku mampu mengharunginya tanpa menyusahkan sesiapa.

——- “Morning Achik,” sapaan seseorang dari arah belakang menyedarkanku dari lamunan.

——- “Chesu…morning. Dah habis kelas?” tanyaku kepada Siti Suriani yang sedang sedang menyusulku dari belakang.

——- “Tak lah, baru nak pergi ni. Tadi dari bilik, nak pergi lab MK4. Eh apa ni, minggir! Shoohh!” Chesu sempat menghalau kucing yang cuba menghalang perjalanannya. Perlakuannya itu hanya mampu kutonton tanpa sebarang bantahan. Chesu pun macam Angah juga…

——- Chesu menghampirkan dirinya padaku. Kami berjalan beriringan melepasi Dataran Ilmu ketika Chesu pula mengacukan soalan kepadaku, “Achik nak pergi mana pulak lepas ni?”

——- “Pejabat Dekan,” jawabku ringkas.

——- “Dekan? Kenapa? Apa dia nak?”

——- “Ntahla…nak pecat saya kot”

——- “Biar betul Chik,” kata Chesu sambil melakukan aksi vibrate yang sudah menjadi tabiat semulajadinya.

——- ‘Kring! Krong! Kring krong bunyi teleponku, memanggil-manggil namaku lalu kuketuk-ketuk ia ketika ia mulai bingitt…oooo…bingitnya tele..’ Tit! Aku menekan punat berwarna hijau di telefon bimbitku tatkala bunyinya mula membuatkan ada pelajar mentertawakanku. Cis…siapa pula yang menukar nada dering telefonku ini? Mesti kerja Lolo… ataupun Shah Erhan. Huh.

——- “Hello, ya”

——-. . . . . . . . . .

——- “Okey, bila?”

——-. . . . . . . . . .

——- “Malam ni jugak? Esok tak boleh? Orang ada kerja sikit malam ni”

——-. . . . . . . . . .

——- “Okeylah, membe punya pasal. Dah ajak yang lain-lain?”

——-. . . . . . . . . .

——- “Ada ni. Nanti saya bagitau dia”

——-. . . . . . . . . .

——- “Yela yela…taula… Okey, bye,” Tit! Aku menekan punat merah di telefon bimbitku dan mengarahkan pandangan pada Chesu yang sedang memerhatikan setiap gerak-geriku.

——- “Farhan…” kataku yang mengerti maksud pandangan Chesu.

——- “Apa dia nak?” tanya Chesu, teruja.

——- “Dia nak jumpa kita malam ni. Ada hal penting, katanya soal hati dan perasaan,” balasku sambil menggaru kepala yang tidak gatal.

——- “Hati dan perasaan lagi. Hmm…Farhan ni tak pernah berubah la. Dah boleh agak apa dia nak cakap nanti,” Chesu mencebik sedikit ketika melontarkan kata-katanya.

——- “Memanglah. Membe, Chesu… terpaksalah saya pospone kerja-kerja designing saya malam ni,” kataku sedikit mengeluh.

. : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : .

——- “Oh Mas, duduklah,” kata lelaki itu kepadaku. Kerusi di hadapannya kutarik dan kududuki tanpa sebarang bicara. Senyap. Suasana agak tegang ketika itu. Aku berdebar-debar menantikan ayat yang bakal keluar dari mulut lelaki di hadapanku.

——- “Awak tahu kenapa saya panggil awak hari ni?” soal lelaki itu.

——- “Tak tahu Prof,” jawabku.

——- Jangan ngirau… Bisik sipo agi rimau nyaga aku balik to. Tinggi, manah gamal. Amat keriandai, makal apai...” Eh? Bukan ayat ini yang kujangkakan darinya. Biar betul.

——- “Kenapa Prof cakap Iban dengan saya pulak?” aku merenung wajahnya mencari kepastian. Aneh. Dekan pun aneh.

——- “Bwahahaahahaha!!!!!” tiba-tiba lelaki itu ketawa berdekah-dekah pula. Makin aneh pula keadaannya. Aku mula berkira-kira untuk memanggil pengawal keselamatan di luar. Mungkin Prof. Dr. Fazrul Hafiz sudah tidak berapa betul setelah banyak eksperimen yang dijalankannya mengalami kegagalan sebelum ini. Mungkin juga ini kesan sampingan daripada bahan kimia yang digunakan semasa eksperimen tersebut. Atau mungkinkah Prof. Fazrul tertekan akibat isterinya yang gemar membeli-belah itu? Aku ada juga terdengar cerita bahawa keadaannya yang semakin berlemak itu adalah akibat menghabiskan makanan isterinya yang terlalu banyak dibeli mengikut hawa nafsu.

——- “Releks la Mas, nak bergurau pun tak boleh ke? Saja nak besenda gurau. Tengok awak bukan main tension lagi tadi. Jangan ngirau…hahahhaa….” Prof. Fazrul menyambung ketawanya lagi sehingga tersedak beberapa kali. Huh melampau. Tapi sedikit sebanyak aku semakin terpengaruh dengan ketawanya, lantas turut ketawa bersama. Semakin lama tawa kami kedengaran semakin kuat.

——- “Errr…Prof, boleh saya bantu?” tiba-tiba setiausaha dekan itu menjengah ke dalam bilik. Mungkin dia berasa agak terganggu dengan ketawa kami. Atau mungkin juga dia mengesyaki bahawa kami sudah dijangkiti penyakit sawan ketawa.

——- BANTU, dia puas mendengar perkataan itu…muahahhaaa….” Lelaki itu menyambung lagi ketawanya. Professor ini sudah tersampuk jin iklan agaknya.

——- “Tak ada apa-apa Hamim. Tolong bawakan fresh orange ye… hahhahaaikhohohoho…” Prof. Fazrul ketawa lagi sambil menekan perutnya. Gadis itu mengangguk lantas menutup pintu bilik perlahan-lahan. Aku sempat melihat dia menggelengkan kepala sebelum pintu itu tertutup rapat.

——- “Hehe.. okeylah Mas, kat mana kita tadi,” kata Prof. Fazrul sambil menyeka air matanya.

——- “Prof belum mula pun lagi,” ujarku.

——- “Yeke..hehe…asyik sangat gelak sampai lupa apa saya nak cakap tadi,” Pulak dah… berapa lama lagi aku harus duduk di sini hingga dia mengingat kembali tujuannya memanggilku? Aku tak mahu terlewat pula ke studio tengahari ini.

——- “Okey, macam ni. Sebenarnya saya nak ucapkan tahniah kepada awak,” katanya lantas membuka laci meja dan mengeluarkan sebuah sampul surat berwarna putih bersaiz A4.

——- “Apa ni Prof?” tanyaku. Hatiku berdebar-debar tatkala sampul surat itu berada di tanganku.

——- “Tengoklah sendiri,” kata Prof. Fazrul sambil tersenyum.

——- Sampul surat itu kuamati. Dapat kulihat namaku tertera padanya, lantas aku membukanya dengan penuh berhati-hati. Apa agaknya isi kandungan sampul surat ini? Denyut jantungku semakin kuat tatkala helaian pertama surat itu berada di tanganku.

 

Bersambung…

Advertisements