KISAH BUHUNG 2008 – Part 4

Kalau Aku Begini, Kau Pula Begitu

——- Suasana agak tenang ketika itu. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa dan pepohon nyior melambai-lambai seolah-olah menyambut kedatangan kami ke Kafe Bistro. Jam di tanganku menunjukkan pukul 8.12 malam. Kafe Bistro kelihatan amat indah dilimpahi cahaya lampu hiasan di sana sini. Pengunjung juga semakin bertambah ketika itu dengan deretan kereta memasuki kawasan kafe bertaraf lima bintang itu.

——-“Mana yang lain ni Achik? Nampaknya kita sampai dulu,” kata Chesu sebaik sahaja menutup pintu kereta Viosku. Aku meninjau-ninjau Kafe Bistro dari luar, mencari kebenaran kata-kata Chesu itu.

——-“Eh tu kan Lemi! Dia sampai dulu lah nampaknya,” ujarku lantas menekan punat kunci kereta. Aku dan Chesu berjalan beriringan memasuki kafe tersebut. Malang, perjalananku terhalang sebentar oleh beberapa orang peminat yang minta bergambar di pintu masuk kafe itu.

——-“Ada saja peminat kamu ye Achik,” sapa Lemi sebaik aku tiba di mejanya. Kelihatan di situ Lemi sudah siap merapatkan tiga buah meja untuk kemudahan semua yang bakal hadir sebentar lagi.

——-“Biasalah Lemi… inilah nasibku,” kataku lantas mengambil tempat di sebelah Chesu. Beg berbentuk empat segi sebesar blok lukisan bersaiz A3 yang kubawa bersama kuletakkan ke tepi.

——-“Hai Mas…lama tak datang sini, sibuk ke?” tiba-tiba seseorang menyapaku dari belakang. Ya, aku kenal suara itu, pemilik Kafe Bistro yang juga sahabatku.

——-“Macam ni la hidup saya Shidah, multitasking,” kataku sambil tersenyum padanya lalu menyambung, “Macam mana bisnes sekarang? Makin maju nampaknya. Wah boleh tambah cawangan lagi lah lepas ni ya.”

——-“Alhamdulillah rezeki Tuhan bagi… Shidah hepi sangat hari ni sebab baru dapat tender catering untuk kenduri kahwin cucu Sultan Selangor bulan depan,” patutlah dari tadi asyik tersenyum lebar saja.

——-“Ok, korang nak makan apa hari ni? Shidah belanja, berapa orang semua?” kata-kata Shidah itu menyebabkan mata Lemi dipenuhi sinar harapan yang luar biasa.

——-“Macam biasa Shidah. Wah! dapat makan free kita hari ni,” tidak semena-mena Lemi menyampuk perbualan kami. Aku, Shidah dan Chesu tertawa melihat telatahnya.

——-“Okey, roger and out,” kata Shidah sebelum meninggalkan kami.

——-“Macam mana dengan pasukan UTMKL tahun ni Lemi? Ada harapan tak?” aku hanya mendengar pertanyaan Chesu itu sambil mengeluarkan isi kandungan beg empat segiku. Pensil mekanikal, kertas dan pembaris. Eh, mana pula pemadam ni? Ah pasti sudah tertinggal. Nasib baik aku jarang menggunakannya.

——-“Peluang cerah. Budak-budak tahun ni bagus-bagus belaka. Seronok aku ajar diorang,” Lemi menerangkan tentang kerjayanya. Siapa tidak kenal Lemi, tenaga pengajar utama subjek ko-kurikulum QCL1021 Pasukan Sorak UTMKL. Pasukan pimpinannya telah banyak menjuarai pertandingan Cheerleading peringkat kebangsaan, malah pernah sekali menyertai pertandingan peringkat antarabangsa di Los Angeles.

——-“Kalau tak bagus pun kamu seronok jugak ajar diorang kan…” aku menerangkan dengan jelas, apa yang kumaksudkan dengan ‘dasar Lemi’. Sementara itu tanganku pula tangkas menggerakkan mata pensil di atas permukaan kertas. Lukisan ini mesti kusiapkan segera.

——-“Tau takpe. Ni bila dateline Achik?” tanya seseorang yang sedang asyik memerhatikan lukisan manga empat mukasurat yang sedang kusiapkan untuk Majalah GempakStarz edisi November.

——-“Eh Jimmy! Bila korang sampai? Bukan nak bagi salam,” kataku pada si penanya soalan.

——-Jimmy hanya tersengih memandangku. Di sebelahnya adalah Anis yang juga tersengih. Di sebelah Anis adalah Tina yang turut sama tersengih. Eh, macam iklan ubat gigi pula. Di sebelah Tina adalah Farhan yang tidak pula tersengih tapi berwajah sugul. Namun begitu Farhan kelihatan kacak seperti biasa. Rambutnya diluruskan dan disapu gel serta digayakan dengan fesyen terkini ibarat Dafi, tidak ketinggalan cermin mata gelap disangkut atas kepala walaupun hari telah memasuki fasa malam. Matanya dihiasi kanta lekap berwarna coklat, memakai t-shirt putih, jaket serta seluar kulit berwarna hitam. Penampilannya segak seperti biasa. Kadangkala aku juga agak terpikat padanya malah aku tahu Anis dan Chesu juga begitu.

. : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : .

——-Dua orang gadis sedang berselindung di sebalik pondok telefon yang hampir rebah ke bumi angkara vandalisme. Sudah hampir sejam mereka begitu. Orang awam yang lalu-lalang di dalam pusat membeli-belah itu tidak mengendahkan mereka kerana itulah lumrah warga kota, tidak peduli dan tidak perlu ambil peduli.

——-“Berapa lama lagi ni Nelli? Cemuihla… aku rasa dia tak datang kot hari ni?” gadis berkulit kuning langsat itu meluahkan rasa hati kepada rakan setugasnya. Dia tidak sanggup lagi berdiri seperti patung di sebalik pondok telefon yang berbau hancing itu.

——-“Sabarlah sikit Yanie… kejap je lagi. Kalau tak sia-sia je usaha kita hari ni,” balas Nelli sambil mengelap hidungnya dengan kertas tisu. Hidungnya yang tersumbat akibat selsema membuatkan dia tidak dapat menghidu bau pondok telefon yang harum itu.

——-“Yanie melemparkan pandangannya ke arah butik di hadapannya, sepertimana yang dilakukannya sejak sejam yang lalu. Butik Pengantin Puteri Mardiana tersergam indah, dengan patung-patung mannequin memperagakan pakaian pengantin di hadapan pelamin berwarna emas. Sepanjang 57 minit di situ Yanie sudah berjaya menghitung jumlah patung-patung di situ, malah jumlah batu permata di mahkota patung tersebut juga telah enam kali dibilangnya. Cukup 132 butir, tetapi insan yang ditunggu masih belum juga muncul.

——-Bosan. Bosan dia mendengar bunyi dengusan hidung Nelli. Dia membuka begnya untuk menulis sesuatu pada diarinya. Seringkali itulah yang dilakukan apabila bengang dengan rakan setugasnya; menyonteng diari dengan perkataan-perkataan yang kurang enak didengar tetapi amat menyenangkan hati sendiri sekiranya dihamburkan.

——-“Mana diari aku ni? Nelli, diari aku hilang!” kata Yanie cemas apabila diari itu gagal dicarinya. Habislah… dalam diari itu… tidak!!!

——-“Apa hal pulak ni, setakat diari buruk kau tu biar jelah. Nanti beli yang baru,” ucap Nelli acuh tak acuh. Matanya dipusatkan ke arah pintu masuk butik pengantin 10 meter di hadapannya.

——-“Gila kau, dalam diari tu ada rahsia operasi kita!” Yanie hampir menangis memikirkan nasib diarinya. Sebenarnya dalam diari itu ada sesuatu yang jauh lebih penting daripada rahsia operasi mereka.

——-“Kau ni… Sengal…!” Kuk! Nelli melekuk kepala rakan setugasnya itu. Terpaksa dia menamatkan operasi mereka pada hari itu.

——-“Aku rasa aku tertinggal kat kedai makan tadi…” kata Yanie sambil mengusap kepalanya yang hampir benjol dilekuk Nelli.

. : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : .

——-“Okey semua, sebelum apa-apa hal saya nak buat pengumuman dulu,” kataku sambil mengeluarkan sampul surat berwarna putih dari beg. Kandungan sampul surat itu kukeluarkan.

——-“Saya nak korang semua ambil cuti seminggu bulan depan, sebab… saya dapat pakej pelancongan percuma ke Tioman untuk 7 orang!!!” ucapanku membuatkan Lemi semakin bertambah sinar di matanya.

——-“Wah…macam mana kamu dapat Chik?” tanya Chesu kepadaku.

——-“Ingat tak pagi tadi saya jumpa dekan? Rupanya bukan nak pecat tapi nak bagi hadiah. Katanya ini hadiah peribadi daripada Canselor sebab saya berjaya naikkan nama UTMKL lepas laporan Majalah 3 bulan lepas,” kataku.

——-“Hoyea!!! Dapat holiday free! Yippie!!!” tiba-tiba Anis menjerit dan melompat kegembiraan, hampir-hampir sahaja dia terlanggar Shidah yang sedang membawa minuman.

——-“Jemputlah semua… Jangan risau hari ni Shidah belanja,” Shidah tersenyum ikhlas sambil memerhatikan pekerjanya menghilangkan makanan di meja kami.

——-“Terima kasih Shidah,” ucap kami semua serentak, seakan-akan murid darjah satu lagaknya. Akibatnya sebahagian besar pelanggan kafe memandang kearah kami, terutama aku yang merupakan seorang selebriti. Aku tidak peduli tentang itu. Statusku tidak akan sekali-kali mengubah kelakuanku ketika bersama sahabat-sahabatku.

——-“Okey, pasal holiday kita bincang kemudian. Sekarang kita bagi laluan kepada penganjur majlis malam ni. Jadi Farhan, apa yang penting sangat soal hati dan perasaan kamu kali ni?” kata Tina yang memulakan potongan pertama stik Goldon Blue di atas pinggannya. Farhan yang masih lagi berwajah sugul hanya memandang spagetti carbonara di hadapannya.

——-“Awek aku… dia dah tinggalkan aku,” Saat itu kulihat semua yang hadir di meja itu tersenyum sinis, termasuk diriku. Bukanlah sesuatu yang baru apabila Farhan ditinggalkan kekasih. Malah setiap kali ditinggalkan pasti kami semua akan diajak keluar seperti ini.

——-“Kali ni kenapa pulak?” Jimmy mengucapkan kata-kata itu dengan mulut yang penuh dengan Sirlon Black Papper Steak. Lemi di sebelahnya kulihat makan dengan penuh lahap tanpa mempedulikan apa-apa lagi.

——-“Entahlah, aku dah berikan sepenuh kasih sayang terhadapnya. Tidak sekalipun kujangka ini akan terjadi,” ujar Farhan penuh perasaan. Bukan juga sesuatu yang baru.

——-“Kamu asyik sangat dengan motor besar kamu tu, mau dia tak lari,” Chesu pula mengambil giliran menempelak Farhan. Masih lagi bukan sesuatu yang baru.

——-“Sekurang-kurangnya aku layan motor, bukan robot Gundam. Bukankah normal bagi lelaki untuk meminati motosikal?” Farhan akhirnya menyentuh spaghetti di hadapannya akibat tidak tahan terliur melihat kelahapan Lemi menjamah makanannya.

——-“Yelah tu…” Seolah-olah itulah yang ingin disampaikan oleh aku, Anis, Tina, Chesu, Jimmy dan Lemi apabila kami semua tidak menyahut luahan hati Farhan itu. Semuanya asyik menikmati keenakan makanan barat yang dihidangkan percuma; kerana nikmat makanan percuma tiada galang gantinya. Kami berbual kecil tentang hal-hal lain tanpa mempedulikan soal hati Farhan. Farhan juga seolah-olah telah dapat melupakan gadis yang baru sahaja mendapat status kekasihnya dua bulan lalu.

——-Tiba-tiba Farhan berdiri dengan matanya memandang tajam ke suatu arah. Keadaan yang aneh itu mengundang keraguan di hati aku dan rakan-rakan yang lain. Kenapa pula Farhan berkelakuan begini? Adakah…

——-“Kawan-kawan…” kami berdebar-debar menantikan Farhan menyambung kata-katanya, “…aku rasa… aku dah jatuh cinta pandang pertama,” Serentak dengan itu kami semua tersedak dan makanan di dalam mulut hampir-hampir sahaja terhambur keluar. Sudah… Farhan buat hal lagi!!!

Bersambung…

Advertisements