Aku Sebatang Pena

Aku sebatang pena. Namaku… ah usahlah dibicarakan tentang nama. Ada apa pada nama. Aku dilahirkan di dalam kilang di sebuah negara beriklim dingin. Sepertimana kaum kerabatku yang lain, aku diletakkan di dalam sebuah kotak yang indah, berbaldu merah dengan tulisan berwarna emas. Sesempurnanya penciptaanku, aku dan kawan-kawan yang lain diterbangkan ke sebuah negara bernama Malaysia. Di dalam kegelapan kotak yang sempit itu, aku bermohon agar ditemukan dengan manusia yang sudi menjagaku dengan sebaiknya.

Sementelah kusampai di sana, aku ditempatkan di dalam sebuah kedai yang menjual banyak lagi pena berjenama. Kata mereka aku sungguh bertuah, kerana diletakkan dalam ruang peragaan maka dapat kupamerkan rupaku hingga ke luar kedai itu. Hari berganti hari, ramai manusia melihat dan memuji rupaku di sebalik cermin sana. Aku tidak mahu bangga. Apalah ertinya menjadi pena yang cantik jika tidak bertuan. Saban waktu aku memohon, somoga ada hendaknya yang sudi memilikiku.

Pada suatu hari, seorang budak lelaki berlalu di ruang hadapan kedai itu. Langkahnya terhenti seketika, dan dia memandang ke arahku. Ya, hingga ke hari ini aku masih ingat dengan pandangan itu. Pandangan yang penuh keinginan dan kesungguhan. Aku tahu, dia bersungguh-sungguh ingin memilikiku. Tapi tika itu aku hairan, dia hanya berlalu pergi dengan wajah yang sayu. Kenapa dia tidak cuba menjadikanku miliknya? Namun seketika kemudian aku tersedar, dia pergi bukan keranaku. Bukan kerana aku tidak cukup indah, tetapi kerana tanda harga di hadapanku. Ah, aku benci sungguh dengan tanda harga itu!

Sememangnya bersungguh benar budak lelaki itu ingin memilikiku. Sejak hari itu dia sering lalu di hadapan kedai itu, dan tidak lupa merenungku. Ada kalanya dia membuka dompetnya dan mengira jumlah helaian di dalamnya. Hal manusia, aku tidak faham tentang itu. Yang pasti aku tahu dia ingin aku menjadi miliknya dan aku juga begitu.

Suatu hari yang indah, aku takkan lupa saat itu. Budak lelaki itu datang dengan wajah yang sungguh ceria. buat pertama kali, dia masuk ke dalam kedai itu dan mengumumkan hasratnya untuk memiliki aku. Oh, itulah hari yang paling membahagiakan dalam hidupku. Beberapa keping kertas diberikannya kepada tuan kedai itu sebagai harga pertukaranku lalu aku diambilnya dan dibawa pulang. Aku tahu dia sungguh sayang padaku hinggakan telah dia mengukir namanya di atas tubuhku. Itulah saatnya aku merasa sungguh bangga.

Sejak hari itu aku menjadi miliknya, dan kuhambakan setiap titisan dakwat dalam tubuhku hanya untuknya. Di sekolah, aku selalu menjadi kebanggaannya kepada rakan-rakan. Aku sentiasa di genggamannya, menemaninya dalam waktu senang mahupun sukar. Akulah yang membantunya menempuh setiap ujian, kecil mahupun besar sehinggalah dia berjaya menjejak tangga universiti.

Hari, minggu dan bulan silih berganti. Aku tidak terkecuali dimamah usia. Sungguhpun masih mampu digunakan, aku tidak lagi seanggun dulu. Sinarku kian pudar, mungkin akibat asakan mata pensil di dalam bekas pensil itu. Kini dakwatku kian kurang. Budak lelaki itu sudah menjadi lelaki muda yang semakin matang. Aku tahu, dia semakin tidak selesa menggunakanku. Tugasku kini diganti oleh pena mata bola yang baru dibelinya. Murah, namun lebih lancar katanya. Aku ditinggalkan di dalam bekas pensil itu bersama alat tulis yang lain. Menunggu dan berharap diambilnya agar dapat berkhidmat seperti dahulu.

Pada suatu petang di saat tuanku menelaah di sebuah pondok di taman universiti, sesuatu yang tidak kujangkakan telah berlaku. Bekas pensilnya telah terjatuh saat dia ingin mengambil sesuatu dan aku telah terpelanting ke atas rumput. Itulah detik yang paling menakutkan sepanjang hidupku. Dia mengambil semula bekas pensil itu dan mengutip setiap isi di dalamnya, tetapi tidak aku! Oh, sekiranya aku punya suara, mahu sahaja aku menjerit agar dia sedar aku tidak diambilnya tatkala dia berlalu dari pondok itu. Maka tinggallah aku sendirian, mengharung hujan dan panas tanpa dipedulikan sesiapa.

Aku telah putus asa untuk hidup. Namun apalah ertinya kerana aku tidak pun punya nafas. Untuk apa aku wujud jika hanya menjadi hamba kepada panahan matahari dan titisan hujan? Mungkinkah masih ada sinar harapan untukku? Tatkala aku sudah tidak peduli tentang dunia, seorang gadis telah menjumpaiku dan membersihkan tubuhku. Seterusnya aku telah dibawanya ke sebuah kedai barangan lusuh dan dia cuba menjualku. Tuan kedai itu sudi membeliku dengan harga yang rendah kerana aku dari jenama yang hebat katanya. Tubuhku dikilatkannya dan digantikan dakwat yang baru. Seolah sejarah berulang, aku sekali lagi ditempatkan dalam kotak peragaan. Namun kini jiwaku merintih, semangatku telah mati. Aku rindukan tuanku.

Masa cuba mempermainkanku barangkali. Setelah sebulan aku ditempatkan di dalam kotak peragaan itu, memandang kosong ke arah dunia; tiba-tiba aku ternampak kelibat tuanku. Dia berhenti seketika di hadapan kedai itu dan merenung ke arahku. Aku jadi kaget seketika. Sukar untuk menggambarkan perasaanku saat itu. Gembira, gementar, terkilan, segala bercampur-baur tatkala kulihat dia tersenyum melihat ukiran namanya di atas tubuhku. Dari renungan matanya, aku tahu dia sedang terkenangkan saatnya ingin memilikiku dahulu, saat betapa susahnya dia mengumpul sehelai demi sehelai kertas berwarna itu hanya kerana dia kemaruk menginginkanku. Kini tanda harga di hadapanku bukan lagi menjadi halangannya. Aku tahu, aku akan menjadi miliknya semula.

Lalu aku sekali lagi menjadi tukaran beberapa keping kertas. Lelaki muda itu tersenyum puas dan lalu menempatkan aku semula ke dalam bekas pensil sial itu. Maka kembalilah aku ke tempat asal, menunggu dan terus menunggu untuk diambil dan digunakannya. Aku gembira dapat menjadi miliknya semula namun… perasaan ini telah tercalar, diri ini telah disisihkan dan memori ini tidak lagi seindah dulu. Mungkinkah nanti di suatu masa, aku sekali lagi ditinggalkannya kepada matahari dan awan?

Nukilan Hati, Mas Elyna

Advertisements