Kisah Ayam Dengan Itik

——Pepohon rambutan berbuah lebat itu bergoyang ditiup angin yang semakin kencang. Suasana redup di sekitar kampung itu pasti mendamaikan jiwa sesiapa sahaja yang mahu menikmati kenyamanannya. Sebuah rumah kayu tersergam di celah kebun getah dangan halaman luas di hadapannya. Di sebalik sepohon jambu batu yang gagah mengharung angin, seekor itik mundar-mandir mencari sahabatnya.

——“Tapa! Mana kau pergi ha? Puas aku cari kau,” katanya sebaik ternampak kelibat sahabatnya, seekor ayam jantan.

——“Engkau ni tak boleh tengok aku senang? Aku pergi jalan-jalan cari cacing kat belakang dapur sana tadi. Ada apa kau cari aku Che ‘Ad?” ujarnya kepada sahabatnya itu. Bulu pelepah di kepaknya dikuis-kuis tanpa dia tahu sebabnya. Mungkin tuntutan fitrahnya seekor ayam.

——“Saja. Aku tak bolehla kalau tak nampak kau sehari. Aku takut kau kena sembelih,” kata-kata Che ‘Ad itu menimbulkan riak keresahan di wajah Tapa.

——“Oi Che ‘Ad, aku ayam jantan la. Mana boleh senang-senang kena sembelih. Lainlah macam kau,” ucapnya penuh bangga dan riak.

——Kata-kata itu menghadirkan rasa pilu di hati Che ‘Ad. Dia tahu dia tidak sesegak dan segagah ayam jantan bernama Tapa itu. Che ‘Ad dan Tapa sudah bersahabat sejak baru menetas lagi. Setiap hari mereka pasti bersama, hingga mengundang rasa aneh di kalangan haiwan-haiwan yang lain. Sebenarnya dahulu Che ‘Ad menyangka Tapa adalah seekor itik. Malah Tapa sendiri tidak tahu bahawa dia bukanlah seekor itik sehingga terpaksa diyakinkan oleh semua haiwan di sekitar rumah kayu itu. Ah, apa perlunya sejarah dalam hidup lauk-pauk itu. Apa pun, Che ‘Ad dan Tapa tetap bersahabat tanpa mempedulikan perbezaan antara mereka.

——“Namun sejak kebelakangan ini Che ‘Ad mula merasakan jauhnya jarak perbezaan antara dia dan Tapa. Semakin menginjak dewasa, Tapa kelihatan semakin segak dan jauh meninggalkan dirinya. Binatang mana yang tidak kenal Tapa, ayam jantan yang paling cantik di situ malah gagah pula. Dengan dada yang tegap, ekor panjang dengan balung yang cantik, paruh panjang elok berasah, tidak hairanlah Tapa sentiasa menjadi sanjungan lelaki tua penghuni rumah kayu itu. Sa’idin, pesaing terdekat Tapa sentiasa iri hati dengan Tapa yang menjadi pujaan ayam-ayam betina di situ.

——“Che ‘Ad amat kagum dengan Tapa. Kalaulah dia segagah Tapa… dengan badan tegap dan bulu berkilat seperti itu… dia larut dalam imaginasinya melampaui tahap seekor itik. Paling dikaguminya pada Tapa ialah sesuatu yang tajam pada kaki sahabatnya itu.

——““Tapa, aku dah lama nak tanya kau sesuatu,” kata Che ‘Ad ketika mereka sedang berteduh di bawah sepohon betik di tepi perigi.

——“Apa?” tanya Tapa ringkas.

——““Tu kat kaki kau tu, apa?” ikhlas pertanyaan itu ditujukan kepada sahabatnya.

——“Tapa menjenguk bawah badannya. “Oh ini, err apa namanya ya?” Tapa terdiam sejenak mencari jawapan tentang badannya sendiri lantas menyambung, “Ini kanser buku lali kalau kau nak tahu…err,” kata-katanya terhenti seketika.

——““Kenapa pelik sangat bunyinya? Aku rasa tuan kita selalu panggil benda tu taji,” Che ‘Ad pula menjawab pertanyaannya sendiri.

——““Kau ni dah tahu nak tanya lagi. Aku acah saja tadi,” Tapa berpura-pura arif tentang anatomi seekor ayam.

——“Che ‘Ad mengeluh perlahan lalu menyambung, “Tapa, aku cemburu la dengan kau. Kau cantik, gagah, tak macam aku ni,” kata-kata Che ‘Ad terhenti seketika, mengelamun mengenangkan keadaan dirinya. Apalah bulu putihnya yang kotor itu jika dibandingkan dengan Tapa. Apalah badannya yang terkedek-kedek itu jika dibandingkan dengan pantasnya Tapa berlari mengejar ayam betina.

——“Tapa terdiam seketika. Sejuta kata terbungkam di fikirannya. Mahu sahaja dia meluahkan segalanya tapi… Tidak sempat dia membalas kata-kata sahabatnya itu, tiba-tiba seorang lelaki tua mengambil lalu mengusap-ngusap tubuhnya.

——““Tapa… malam ni hang aku nak sabungkan dengan ayam si Usop Boya. Hang jangan bagi malu aku naa…” kata lelaki itu lantas membawa ayam jantan itu ke hadapan rumahnya. Dari jauh Che ‘Ad hanya mampu memerhati lelaki tua itu membelai Tapa malah menyapukan sesuatu pada tajinya. Ah, Che ‘Ad begitu teringinkan taji seperti itu. Pernah juga dia menggeselkan kakinya di bangsal lembu sebelah pokok kuinin di belakang rumah itu. Manalah tahu, kalau-kalau boleh tumbuh taji yang cantik seperti Tapa. Malah dia pernah cuba mencucukkan duri di bahagian itu. Malang, usahanya sia-sia belaka.

——“Keesokan harinya, kecoh sekitar rumah kayu itu tentang keadaan Tapa yang parah setelah bersabung malam tadi. Mendengar perkhabaran itu, Che ‘Ad pantas berlari terkedek-kedek mencari sahabatnya. Dia amat takut jika tidak sempat bertemu Tapa sebelum disembelih. Sebaik sampai di hadapan sebuah jaring besi yang dijadikan sangkar, Che ‘Ad tidak dapat menahan sebak melihat keadaan sahabatnya itu. Tapa kelihatan amat lemah, terbaring dengan luka parah di seluruh tubuhnya.

——““Che ‘Ad,” tutur Tapa lemah, memanggil sahabatnya, “Hebat apanya aku Che ‘Ad, kalau akhirnya begini,” katanya tersekat-sekat menahan sakit.

——““Hebat apanya aku Che ‘Ad, kalau tujuan aku hidup hanya untuk diseksa begini? Sebenarnya aku cemburu dengan kau,” Che ‘Ad tersentap mendengar ucapan sahabatnya itu. Kenapa pula Tapa harus cemburu dengannya yang berbulu kotor dan terkedek-kedek itu?

——““Kau lebih bebas Che ‘Ad. Kau boleh berenang di atas kolam yang dalam. Aku kagum dengan kau Che ‘Ad. Aku selalu harap aku dapat berenang macam kau. Bukan hidup untuk menyabung nyawa begini,” tuturnya itu menyekat segala kata sahabatnya. “Oh, betapa aku tidak bersyukur dengan kurniaanku selama ini” ungkapan itu menerjah fikiran Che ‘Ad tika itu, sebak.

——“Tiba-tiba episod sedih itu terhenti seketika apabila sebuah kereta mewah kelihatan menyusuri perkarangan rumah kayu tersebut. Lelaki tua yang sedang mengopek kelapa di hadapan kandang kambing di sebelah rumahnya tercengang melihat kereta yang asing itu. Sebaik pintu kereta itu dibuka, lelaki tua itu tersenyum melihat seorang perempuan muda melangkah keluar dari ruang penumpang kereta itu. Ya, itulah Jijah anak tunggalnya yang tinggal di kota. Entah siapa pula yang memandu agaknya.

Jijah: Semekom Pak! Ngah watpe?
Bapak: Waalaikumsalam Jah… dok kupaih nyioq tadi. Tu sapa tu?
Jijah: Hehe..ni Pak, Jijah kenalkan Douglas, boyfriend baru Jah dari US.
Bapak: Amboi mat saleh ka marka hang… Apa habaq Dolos?
Douglas: ???
Jijah: My father ask you fine or not.
Douglas: Oh yeah, sure. Thanks. How do you do sir? Nice to meet you.
Bapak: ???
Jijah: Dia tanya Bapak buat apa?
Bapak: Ooo…Bapak tengah kupaih nyoq la. Habaq kat dia sat.
Jijah: My father is…is..err… Pak, kupaih apa dia dalam BI?
Bapak: Mana Pak nak tau!
Douglas: ???
Jijah: My father is…you know… kupaih coconut. You know kupaih?

——“Melihatkan anak-beranak itu mempamerkan aksi mengopek kelapa di hadapan seorang lelaki Inggeris, spontan Che ‘Ad berkata kepada Tapa, “Kau tengok tu Tapa, macam ayam dengan itik bercakap,” lalu dibalas dengan anggukan oleh Tapa.

Advertisements