Mas Elyna dan 30 Impian #13

Rujukan: Perkara2 Duniawi Yg Ingin Dilakukan Sebelum Meninggalkan Dunia

_______ Mas Elyna merenung skrin komputer ribanya. Senarai itu dibacanya satu-persatu, lantas satu ungkapan menerjah mindanya, “Apa ertinya impian jika ia tidak menjadi kenyataan?”. Dia nekad, setidak-tidaknya percubaan menzahirkan itu lebih baik dari berdentum-dentum melaung kata tanpa hadirnya perbuatan.
_______ Lalu katanya, “Adik, jom keluar,” kepada Mas Elyza dan Mohd Ezryl di suatu petang yang baik cuacanya. Dengan banyak soal, mereka mengikut sahaja walaupun soalan mereka tidak berjawab kerana mereka tahu, petrol kereta itu bukan mereka yang perlu membayarnya.
_______ Cuaca masih lagi indah ketika mereka sampai ke destinasi yang dituju. Deruan ombak semakin deras kedengaran tatkala mereka melangkah keluar dari kereta. Ya, Mas Elyza dan Mohd Ezryl sudah pasti kini, mereka sedang berada di pantai bernama Bagan Lalang. Pantai itu biasa-biasa sahaja. Pasirnya tidak seputih Pulau Kapas dan airnya tidak juga sejernih Pulau Semporna. Sebaliknya pantai itu kotor dan berminyak pula. Mungkin sudah begitu lumrahnya pantai di bahagian barat semenanjung. Namun entah mengapa, ramai sungguh pengunjung di sana petang itu. Entahlah, mungkin mereka juga seperti Mas Elyna, mencari damai yang tidak kunjung tiba. Deretan gerai-gerai yang kelihatan seolah-olah bazar raya di situ mengundang sesiapa sahaja yang mahu membeli sesuatu yang pastinya tidak mereka perlukan di situ.
_______ Kala itu, Mas Elyna teringatkan senarai 30 impian yang diciptanya, yang belum lagi ada yang menjadi kenyataan. Lantas dizahirkan hasratnya kepada Mas Elyza, agar salah satunya dapat direalisasikan petang itu, “Adik, jom beli buih sabun nak?”. Mas Elyza merenung kakaknya itu dengan kerutan di dahinya. Mas Elyna tahu, hasratnya kelihatan bodoh dengan usianya yang hampir mencecah suku abad itu. Lalu diterangkan bahawa itu adalah impiannya yang ke-13 supaya Mas Elyza mengerti, dan dia mengerti; Mas Elyna punya hasrat seolah-olah dia akan mati esok hari.
_______ Sesungguhnya impian itu bukanlah impian jika ianya mudah sekali dicapai. Membeli buih sabun mungkin hal yang mudah bagi orang lain, tetapi tidak bagi 3 insan ini. Mereka adalah segolongan manusia yang rendah keyakinan diri, pemalu, dan penyegan. Mohd Ezryl menolak 100% apabila disuruh melakukan hal itu. Maka Mas Elyna dan Mas Elyza kini harus melakukannya dengan kudrat mereka sendiri. Apapun, mereka harus mengelak daripada membeli apa-apapun dari seorang lelaki, atau yang mereka gelar ‘boya’ supaya emosi mereka tidak terganggu oleh manusia jenis itu.
_______ Lalu mereka menghampiri salah satu gerai yang ada menjual buih sabun. Ah, mungkin ada gerai lain. Kemudian mereka berhenti di gerai lain pula tetapi tidak membeli di situ kerana ada ‘boya’. Lalu kembalilah mereka ke gerai tadi tetapi tidak sanggup mereka membeli kerana tika itu ada seorang gadis berusia lingkungan 5 tahun sedang merengek kepada ibunya minta dibelikan buih sabun. Ah, inikan permainan kanak-kanak… Rasa malu kian memuncak tika itu. Namun hidup ini sebuah perjuangan. Maka diredah jua rasa malu itu lalu mereka berdepan dengan peniaga gerai itu. “Kak, bagi ni satu. Kaler hijau.” Nah, RM2 bertukar tangan dan segalanya selesai!
_______ Pantai Bagan Lalang yang kotor itu menjadi saksi. Pandangan tajam umat manusia di situ diabaikan, maka impian Mas Elyna yang ke-13 akhirnya menjadi kenyataan.

Advertisements