Mimpi

Bolehkah anda mengingati mimpi?

Malam tadi saya bermimpi, sepertimana setiap malam saya bermimpi. Ya, saya boleh ingat dengan jelas mimpi saya cuma saya tidak pasti yang mana hujung pangkalnya. Saya tak tahu macam mana orang lain bermimpi, tapi mimpi saya setiap satunya memang menarik walaupun tidak semuanya menyenangkan. Dalam mimpi saya mengembara, dalam mimpi saya sedih, dalam mimpi saya berseronok, dalam mimpi saya lebih hebat dan dalam mimpi saya lebih ramai kawan. Saya boleh buat apa saja dan jadi sesiapa pun yang minda separa sedar saya arahkan.

Mimpi bagi saya umpama suatu tayangan gambar yang saya nantikan kerana di situ hidup saya lebih seronok walaupun tidak semestinya aman. Tidak ada mimpi saya yang saya hanya duduk di hadapan komputer berjam-jam sehari, tidur, makan, pergi dan balik kerja dan melakukan perkara yang sama setiap hari. Mimpi saya adalah hidup saya yang satu lagi, hidup yang indah meskipun tidak sempurna.

Lalu saya bertanya pada diri sendiri, kenapa hidup tak seindah mimpi? Dan mengapa saya biarkan hidup saya ini tidak seindah mimpi? Kemudian minda saya berbicara: “Kerana kamu orang Melayu, perempuan, dan masih punya ibu bapa. Kamu hidup dalam standard yang ditetapkan oleh masyarakat kerana tidak selamat untuk kamu menghidupkan mimpi.”

Maka saya kembali ke alam nyata, menunggu untuk pengembaraan dalam mimpi yang seterusnya malam nanti. Terima kasih Tuhan, untuk nikmat yang indah ini.

Advertisements