Tupai Melintas Jalan

_____Angin petang berpuput lembut kala itu. Cuacanya cukup redup, damai dan menyegarkan sungguhpun bunyinya agak bingar dengan ngauman enjin kenderaan yang lalu-lalang. Nun di sebuah selekoh, di tepi jalan yang menghubungkan sebuah kampung dengan sebuah pekan, berdiri teguh sebatang pohon nangka yang sedang melambai ditiup sang bayu. Barangkali tiada yang sedar, di sebalik pohon itulah diamnya sekumpulan makhluk yang sering dilupakan kewujudannya.

_____Melati – secantik namanya, secantik itulah ekornya. Namanya sentiasa meniti dari bibir ke bibir makhluk-makhluk di pohon nangka itu, dek kerana cantiknya ekor tupai yang bernama Melati itu. Petang itu seperti biasa, Melati sedang asyik melakukan kegiatan ketupaiannya di sebatang pohon ceri berhampiran habitatnya. Sedang leka dia menikmati manisnya ceri, langsung tidak disedarinya ada mata yang sedang asyik merenung tingkah laku tupai betina itu.

_____“Arjuna! Apa yang direnungmu sekian lama? Kulihat tidak berganjak matamu dari tadi,” tegur seekor tupai bernama Tirana kepada sahabatnya.

_____“Kau Tirana… kenapa perlu kau mengacauku? Apa tidak bolehkah kau biarkanku sendiri menjalani hariku?” dengus Arjuna kepada sahabatnya itu. Bukan dia tidak suka dengan Tirana apatah lagi membencinya, namun saat itu dia kepingin sendirian demi mengisi kekosongan jiwanya.

_____“Ah… usah kau bersandiwara denganku lagi Arjuna. Aku tahu apa mahumu. Sudah lama kuperhatikan gerak-gerimu dan ia bukan rahsia lagi. Kau sukakan Melati bukan?” ujar Tirana tanpa berselindung kata.

_____Arjuna terkesima sebentar mendengar kata-kata itu. Tidak terduga olehnya bahawa perlakuannya selama ini telah diperhatikan Tirana. Memang, memang dia sukakan Melati. Sejak kecil lagi dia sudah sukakan Melati malah sejak kebelakangan ini rasa suka itu sudah bercambah menjadi… Ah dia malu sendiri untuk mengakui cinta. Perkataan itu sungguh megah baginya.

_____“Usah bermenung lagi sahabatku,” ucap Tirana pabila dilihat Arjuna tidak pula menyahut kata-katanya. Lalu dia menyambung, “Jika benar kau suka padanya, lakukanlah sesuatu sahabatku. Usah kau biarkan gadis itu jatuh ke tangan tupai lain”.

_____“Ya, aku akui aku sukakannya Tirana. Namun apalah dayaku. Kau lihatlah aku, sudahlah aku ini tidak segak, malah pemalu pula. Tidak mungkin sekali-kali aku berani menyatakan hasratku padanya,” kata Arjuna penuh emosi.

_____“Aku faham benar dengan sifatmu, dan aku ingin sekali membantumu sahabatku. Mahukah kau mengikut nasihatku andai aku punya rancangan untukmu?” ujar Tirana dengan penuh keihklasan. Dia ingin sekali melihat sahabatnya itu berbahagia dengan tupai yang dicintainya.

_____“Tentu sekali jika rancanganmu itu bagus benar sahabatku,” mata Arjuna dipenuhi sinar harapan apabila berkata begitu. Tirana tersenyum lebar lalu memulakan perancangannya…

. : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : .

_____“Kuntum! Ke sini sebentar!” laung Arjuna kepada seekor tupai betina yang berada sedepa di hadapannya.

_____Kuntum yang sedang berehat di atas kabel elektrik itu terkaku sebentar, hairan mengapa dengan tidak semena-mena Arjuna si tupai gagah itu memanggilnya. Ah, apa pula mahunya tupai jantan ini.

_____“Baiklah, aku datang!” laung Kuntum pula sambil melompat ke atas dahan pohon cermai tempat Arjuna menunggunya.

_____Sebaik sahaja Kuntum sampai di hadapannya, Arjuna langsung berkata, “Aku mahu membawamu ke suatu tempat yang istimewa, mahukah kau mengikutku?”. Sungguhpun kehairanan, Kuntum mengangguk sahaja dek kerana dia juga kebosanan yang teramat sangat ketika itu.

_____Lalu Arjuna membawanya terjun dari satu dahan ke dahan yang lain. Dari pohon cermai ke batang nyiur muda, ke atas basikal buruk, ke pohon asam, ke bumbung rumah, ke kawah Astro, ke pohon ciku, ke tunggul semarak api, dan akhirnya ke pohon nangka yang menjadi habitat asal tupai-tupai di situ.

_____Kuntum bertambah hairan kini. Apa istimewanya pohon nangka yang menjadi tempat tinggal mereka itu?

_____“Apa kau mahu mempersendakankukah Arjuna? Apa istimewanya rumah kita ini? Kukira kau hanya membuang masaku sahaja. Lebih baik aku menemani Melati di sana,” kata Kuntum lalu menuju ke arah Melati yang sedang berehat tidak jauh dari tempat mereka, namun lompatannya telah dihalang oleh Arjuna.

_____“Ada apa denganmu Arjuna? Sungguh aneh perlakuanmu,” ujar Kuntum yang mulai gugup apabila Arjuna semakin mendekatinya, menggesel kepalanya dan menghidu ekornya. Ah… adakah Arjuna menyukaiku? Kuntum semakin merasai kemungkinan itu. Sudah pasti dia tidak akan menolak kiranya Arjuna mahu berpasangan dengannya. Tidak ada kurangnya Arjuna cuma…

_____“Melati!!! Jangan nak, jangan!!!” Melur, ibu Melati tiba-tiba menjerit lalu suasana bertukar menjadi hingar-bingar di atas pohon nangka itu. Kelihatan nun di bawah sana, Melati berdiri di pinggir jalan raya yang sedang dipenuhi dengan kenderaan lalu-lalang di atasnya. Arjuna dan Kuntum turut kaget. Sejak bila Melati turun ke tanah dan mengapa Melati mahu melintas jalan pula? Semua tupai sudah sedia maklum bahawa tidak ada tupai yang akan selamat melintas jalan raya itu, melainkan…

_____Ya, hanya Melati yang tahu. Tidak pernah diberitahu sesiapapun selama ini tentang perasaannya. Perasaannya terhadap Arjuna yang kini kiranya telah menjadi milik Kuntum. Hatinya hancur luluh melihat Arjuna dan Kuntum bermesra di hadapannya. Tidak sanggup lagi dia hidup untuk mengingati saat itu.

_____“Selamat tinggal Arjuna, biarlah cinta ini bersemadi bersamaku” bisikan Melati diiringi air mata tatkala dia melompat ke arah jalan raya itu. Sebuah lori sedang meluru laju ketika itu, lalu…

_____Arjuna melihat sendiri dengan mata kepalanya bagaimana tayar raksasa sebuah lori telah menggilis sekujur tubuh gadis yang digilainya. Air matanya tidak mampu tertahan lagi. Tidak tahu lagi apa lagi yang mahu dibuatnya. Dia keliru, apakah Melati membunuh diri kerana Arjuna mengikut cadangan Tirana supaya membuatnya cemburu? Atau Melati punya sebab lain lalu dia mengakhiri hayatnya begitu? Arjuna termanggu sendiri, mencari jawapan yang tidak akan muncul sampai bilapun.

Nota:
Cerita ini diinspirasikan daripada kejadian Mas Elyna menyaksikan sendiri seekor tupai dilanggar lori ketika beliau sedang memandu pulang dari pejabat petang semalam. Selamat Tahun Baru 1430.

Advertisements