Tag?

Dunia blogging memang aneh. Sesudah award, tag pula yang saya dapat malah daripada 2 orang, serentak. Aturannya begini, orang yang di’tag’ perlu memberikan 10 fakta (saya tidak pasti jika auta juga boleh) tentang manusia yang menghantar tag kepadanya. Selepas itu, kita pula memberikan 10 fakta tentang diri sendiri dan menghantar tag kepada penulis blog lain pula.

Aneh.

Atau saya yang aneh?

Baiklah, kerana blog saya ini tidak seperti yang lain maka biar saya uruskan tag ini dengan cara saya sendiri. Insan-insan yang telah bersusah-payah menghantar tag kepada saya ialah:

1. Wan Nurhidayati

Gadis ini saya kenali sejak tahun pertama saya di UTMKL lagi. Kami serumah di Blok F Kolej Darul Fikir. Namun oleh kerana saya di Bilik 1 dan dia di Bilik 3, tidak saya nafikan dia adalah antara orang terakhir yang saya kenali di rumah itu. Setelah kami menjadi rapat bagaikan keluarga malah tertubuhnya pula F-Phat Family, Wan Nurhidayati mula dikenali sebagai Angah ketika Mas Elyna pula dikenali sebagai Achik. Angah berasal dari Kelantan. Saya pernah menumpang di rumahnya suatu ketika dahulu dan masih ingat bagaimana rupa kediamannya itu walaupun tidaklah pula saya ingati dengan tepat apakah alamatnya atau bagaimana jalan ke rumahnya. Ya, memori saya tidak sekuat itu. Apa yang saya paling ingat tentang Angah ialah betapa taksubnya dia kepada warna coklat ketika di UTMKL dahulu. Saya tidak pasti samada itu masih warna kegemarannya hingga kini. Angah tidak sekelas dengan saya walaupun kami telah melalui rintangan yang sama untuk menerima Diploma Sains Komputer (Multimedia). Mungkin kerana itu, masih banyak tentang Angah yang menjadi misteri bagi saya. Setelah tamat kursus diploma, kami terpisah dan membawa haluan masing-masing tetapi masih berhubung sekali-sekala, terima kasih kepada pencipta teknologi Yahoo! Messenger, SMS dan Friendster. Dan kerana itulah juga saya tahu, Angah sudah punya teman istimewa yang saya kira rakan seperjuangan di UTMKL juga…

2. Mior Azrizal

Usahlah ada yang mencebik kiranya saya bercerita tentang lelaki ini kerana dia juga telah menghantar tag kepada saya. Ya, Mior Azrizal adalah lelaki istimewa dalam hidup saya. Tentang bagaimana saya mengenalinya dan bagaimana dia menjadi insan istimewa bagi saya biarlah menjadi rahsia kepada mereka yang tahu sahaja. Lelaki ini saya panggil Ijal sejak 6 tahun yang lalu. Dia yang memilih nama itu untuk saya sedangkan umum memanggilnya Mior sahaja sebagaimana umum memanggil saya Mas sedangkan dia memanggil saya Nina. Ijal lelaki yang sempurna bagi saya. Maksud saya, dia tidak sempurna tetapi sempurna di mata saya sahaja. Ah, semakin ramai yang mencebik nampaknya. Fakta biasa-biasa tentang Ijal ialah dia kini dalam tahun terakhir pengajiannya di USM Kubang Kerian, seorang yang aktif bersukan dan suka menulis blog tentang filem yang ditontonnya. Bercakap tentang filem, inilah orangnya yang menjadi tokan filem dan drama untuk tontonan saya. Dia juga sangat suka dengan Morning Musume, Takahashi Ai dan banyak lagi gadis-gadis cantik yang tidak seperti saya. Ya, saya tidak secantik Bella Swan, tetapi dia juga tidak sekacak Edward Cullen bukan? Hehehe… Ah tidak betah saya berbicara tentang Mior Azrizal di sini. Biarlah masa menentukan samada saya dapat bercerita tentangnya dengan lebih panjang lebar kerana itu adalah hak saya ketika itu…

…dan kini tetang saya. Kerana di dalam cerita mereka sudah ada cerita saya, cukuplah satu fakta sahaja tentang saya di sini. Sayalah Mas Elyna.

…tag untuk orang lain pula? Tidak perlu. Saya hanya mahu serahkannya kepada Wan Nurhidayati dan Mior Azrizal sahaja. Berceritalah tentang Mas Elyna.

Advertisements