Cinta Yang Masuk Akal

Pada tahun pertama kami, saya dihujani dengan sindiran, “Ah, biasalah tu, baru lagi…”. Kata-kata itu hanya mampu saya telan, lalu saya tunggu andainya ia benar. Benarkah rasa itu hanya ada ketika ia masih baru? Lalu masa terus berjalan dan kami masih begitu.

Maka pada tahun ketiga pula saya mula ditanya, “Apa rahsianya kamu masih kekal bersama?”. Saya teragak-agak untuk menjawab soalan itu kerana saya sendiri kurang pasti akan jawapannya. Seringkali, jawapan saya klise sahaja – “sabar”. Saya sendiri tidak tahu andai itulah saja jawapannya.

Lalu tahun demi tahun berlalu dan kami masih begitu. Maka pada tahun kelima saya ditanya pula soalan berbeza yang seringkali pula menyesakkan dada, “Bila lagi?”. Sekali lagi, saya tidak ada jawapan untuk itu. Seringkali juga saya menjawabnya dengan jawapan klise, “Duit belum ada”.

Kini pada tahun keenam, saya merenung kembali masa-masa yang pernah saya lalui dan mengimbau soalan-soalan yang pernah ditanya itu. Lantas satu soalan pula muncul dari saya kepada saya, “Mengapa masih dia untuk saya dan mengapa masih saya untuk dia?”. Mungkin, orang lain pula yang ada jawapan untuk itu.

Dipetik dari http://dingin.blogspot.com/
** kredit kepada Bahruddin Bekri, penulis novel Dunia Ini Sederhana Kecil

Teman saya sering ditanyakan berkenaan satu persoalan. Dia sudah bercinta selama tujuh tahun dan akhirnya, dia tetap menikah dengan cintanya itu. Hairannya, semua mahu bertanya kerana teman saya seperti lari daripada klise hidup. Klise hidup mengatakan, pasangan yang bercinta terlalu lama, akan menikah dengan orang yang berbeza. Maknanya, semakin lama kamu bercinta, semakin nipis harapan untuk kamu bersama dalam ikatan yang sah.

Teman saya ini tersenyum lalu menjawab dengan penuh takzim. Katanya, usia sesuatu hubungan memang bukan pengukur bagaimana seharusnya hubungan itu berakhir. Apa yang menjadi ukuran adalah, sama ada hubungan cinta itu masuk akal ataupun tidak.

Saya terhairan-hairan dengan jawapan teman saya. Apa maksudnya dengan cinta yang masuk akal? Mujur dengan tersenyum dia memerikan misalan. Katanya, dia suka dengan seorang gadis yang cantik dan gadis cantik itu juga suka kepadanya kerana dia berwajah tampan, lalu akhirnya mereka pun bercinta.

Pada awal hubungan, cinta itu masuk akal. Kerana mula cinta itu adalah pada paras rupa dan gadis itu cantik, dia pula tampan. Tetapi selepas fasa itu ada lagi fasa yang seterusnya, iaitu pengukuhan cinta. Pengukuhan cinta itu terpulang pada individu. Ada yang mahu cinta dengan hidup yang selesa, ada yang mahu cinta dengan cita-cita seiring dan ada yang mahu cinta dengan restu keluarga.

Pada fasa ini cinta sering kali sudah tidak masuk akal. Misalnya tadi, dia bercinta dengan gadis cantik yang tertarik kepadanya kerana wajah yang kacak, dan dia tertarik pada gadis dengan wajah yang cantik. Tetapi gadis itu juga mahu cinta dengan hidup yang selesa, maksudnya lelaki itu perlu bekerja dan banyak wang. Sedangkan dia sendiri masih belajar lalu belum bekerja dan mahu cinta yang seiring dengan cita-citanya.

Pada saat ini cinta sudah lagi tidak masuk akal. Bagaimana mereka hendak bersatu? Salah satunya perlu beralah tetapi pada saat ini, biasanya tidak ada yang mahu mengalah dan akhirnya cinta pun bubar. Akhirnya si gadis terus menikah dengan lelaki kaya. Walaupun mungkin ia bukan cinta sejati, tetapi itu cinta yang paling masuk akal. Begitu juga dia, dia akan menikah dengan gadis yang sealiran dengannya. Mungkin ia bukan juga cinta sejati, tetapi ia tetap cinta yang paling masuk akal.

Saya yang mendengar mengaru-garu belakang telinga. Teman saya tersenyum lagi dan kembali menyambung, cinta sejati pula bukan bermakna ia cinta yang masuk akal. Cinta sejati itu biasanya terus daripada hati, picu cinta itu biasanya daripada benda yang abstrak dan subjektif. Misalnya pada fizikal ataupun kata-kata. Ia ada perkara cukup abstrak dan subjektif. Ia langsung tidak menyangkut pada sesuatu yang kukuh dan objektif. Selepas beberapa ketika, cinta sejati itu walaupun masih membara, terpaksa juga dilepaskan kerana sifatnya itu yang tidak masuk akal. Lalu sebab itulah lahirnya ungkapan, ‘cinta tidak semestinya bersatu’ ataupun ‘cinta tidak bermakna memiliki’ ataupun ‘cinta perlukan pengorbanan’. Semua ungkapan itu adalah tepat bagi menggambarkan cinta sejati.

Saya mengangguk-angguk sendiri lalu tersenyum. Teman saya berkata pada akhirnya, kunci kejayaan cinta adalah cuba menjadikan cinta sejati itu menjadi cinta yang masuk akal. Malah cinta monyet sekalipun sekiranya ia mampu dijadikan cinta yang masuk akal, tanpa sekadar khayalan cinta yang memabukkan, ia juga boleh memberi akhir yang membahagiakan. Begitu juga halnya dengan cinta yang masuk akal, ia tetap boleh berubah menjadi cinta yang sejati sekiranya tahu maknanya redha dan mensyukuri. Tetapi kuasa Tuhan tetap jugalah menjadi penentu akhir. Lalu dia berpesan, periksa kembali cinta saya, cinta masuk akal ataupun cinta sejati?

Panjang lebar tulisannya. Mungkin cukup untuk menjawab semua soalan yang pernah saya terima sebelum ini.

Saya tidak tahu jika ini adalah cinta sejati atau cinta yang masuk akal. Namun apa yang saya pasti, rasa di dalam hati ini adalah benar.

Advertisements