Kisah Seorang Introvert

_______ Tengah hari itu sungguh panas, terasa sungguh bahangnya. Tatkala matahari semakin menegak di atas kepala, semua makhluk di bawah pancar sinarnya mencari-cari tempat untuk berteduh. Cukuplah walau sebentar cuma, asalkan tidak perlu diharung hari sepanas itu tanpa sebarang lindungan.

_______ Tempat itu tidak begitu banyak bangunan, tetapi sangat indah kerana dilatari taman-taman yang dijaga dengan rapi. Kata sesetengah orang, kerajaan hanya membazir wang rakyat untuk semua itu, menghiasi taman-taman di kawasan itu dengan indah sekali sungguhpun tidak ada pengunjung. Biarlah, sekurang-kurangnya pohon-pohon yang merimbun di taman itu dapat dijadikan tempat berteduh di tengah hari.

_______ Dahan pohon semarak api itu bergoyang sedikit dihinggap seekor anak burung murai batu. Ya, dia juga seperti makhluk yang lain tika itu, berteduh dari panasnya mentari. Sementelah itu juga dilemparkan pandangannya jauh ke bawah pohon itu. Kelihatan sebuah kereta yang masih belum mati enjinnya diletakkan di situ. Diperhatikannya pula ke sebalik cermin tingkap kereta berwarna perak itu. Ya, dia pasti ada seorang gadis sedang duduk di kerusi pemandu di dalamnya, namun rasa aneh pula menerobos mindanya. Mengapa pula sang gadis itu berseorangan di dalam keretanya di tengah-tengah panas begitu? Menambah peliknya lagi, dilihatnya gadis itu sedang menjamah hidangan rujinya di dalam kereta yang belum dimatikan enjinnya itu. Dia hairan, sungguh hairan.

_______ “Murni, sudah lama ibu mencari kamu. Kenapa tidak kamu sahut panggilan ibu tadi?”, kata seekor burung murai batu betina tatkala ia bertenggek di sebelah anak burung murai batu itu.

_______ “Maafkan saya ibu, tidak pula saya perasan ibu ada memanggil tadi. Sebenarnya saya sedang leka memerhatikan gadis itu, ibu. Sungguh aneh saya rasa,” sahut anak burung bernama Murni itu.

_______ “Apa anehnya, anakku?”, dilemparkan pertanyaan itu sambil dia mendekatkan dirinya dengan anak burung murai batu itu.

_______ “Mengapa pula gadis itu bersendirian di dalam kereta yang belum dimatikan enjinnya itu pada waktu begini? Sudahlah dia sedang makan nasi pula di situ. Apa sudah tidak ada kedai makankah untuk dia menjamu seleranya, ibu? Bukankan itu yang biasa dilakukan manusia pada waktu tengah hari begini?”, panjang lebar pula pertanyaan Murni kepada ibunya. Ibu burung itu diam sebentar, tersenyum, lantas menjawab persoalan itu.

_______ “Dia seorang introvert, anakku. Memang lumrahnya begitu,” ucapnya tenang.

_______ “Apa itu introvert, bu?”, balas anaknya pula yang terkeliru dengan jawapan ibunya. Perkataan itu sungguh asing baginya, tidak pernah pula didengarnya sebelum ini.

_______ Ibunya menghela nafas seketika. Ah, bagaimana pula mahu diterangkan kepada anaknya tentang maksud perkataan itu? Terdiam ia seketika…

_______ “Jawablah bu!”, desak anaknya pula. Semakin bertambah pula persoalan di kepalanya kini. Ibunya menghela nafas sekali lagi, lantas dengan penuh takzim dia menjawab.

_______ “Murni, ibu mungkin tidak pandai menerangkan tentang maksud introvert itu, tetapi mahukah jika ibu ceritakan tentang kisah hidupnya?”, ujarnya sambil tersenyum.

_______ Murni yang semakin sarat dengan persoalan itu hanya mengangguk sahaja. Barangkali juga cerita ibunya dapat merungkaikan persoalan-persoalan yang ada itu.

_______ “Anakku, gadis yang kamu lihat itu lahirnya sama seperti anak-anak yang lain. Tetapi sayang, semakin meniti usia, semakin jelas sifat introvertnya,” kata-kata itu menyimpulkan satu jawapan di dalam minda anak murai batu itu. ‘Jadi introvert itu suatu sifat?’

_______ “Sebaik sahaja dilahirkan, dia telah dibesarkan oleh neneknya di kampung. Baginya nenek tua itulah temannya dan kampung itulah dunianya. Hidupnya aman di ceruk kampung itu, bertemankan ayam itik, kambing lembu pun dia bahagia. Bukan dia tidak ada kawan, cuma adakalanya bersendirian itu membahagiakan. Bila sendiri, dia tenang berfikir…”

_______ “Sewaktu di bangku sekolah rendah dia kembali dijaga ibu bapanya, dan mereka menyekolahkannya di sekolah perempuan. Tatkala kanak-kanak lain begitu seronok bermain beramai-ramai, diperhatikannya sahaja. Bukan dia tidak mahu, malah dia teringin sekali untuk turut serta. Sayangnya tidak ada yang mengajak maka dia diam saja dan melihat orang lain bermain dengan gembira. Dalam hatinya bagaimana, Tuhan sajalah yang tahu,” kata-katanya terhenti seketika tatkala dilihatnya gadis itu membuka pintu kereta untuk membasuh tangan.

_______ “Penakut betul gadis itu kan, ibu. Tentu dia tidak ramai kawan jika begitu,” kata Murni pula.

_______ “Bukan takut nak, tetapi terlalu banyak berfikir. Bukan juga kerana takut atau malu maka dia tidak punya ramai kawan, tetapi dia terlalu banyak berfikir tentang akibat yang bakal diterima jika salah perkataan yang disebutnya. Maka kerana itu dia kurang selesa bersama orang yang tidak atau baru dikenalinya…”

_______ “Tapi itu di sekolah rendah, bagaimana pula dengan alam sekolah menengah dan universitinya pula, ibu? Apa langsung tidak mahu berubahkah gadis itu?” tanya anak burung murai batu itu.

_______ “Kasihan, nenek yang disayanginya meninggal dunia ketika di hujung alam persekolahan. Dia semakin pendiam sejak itu. Pandangannya kosong, jiwanya semakin dirantai kesunyian.”

_______ “Gadis itu kelihatan pendiam pada luarannya, tetapi di dalam mindanya berdentum-dentum dengan kata. Malang sekali, manusia hanya menilai dari lisan sahaja,” ucapnya dengan sedikit keluhan. Direnungnya gadis yang ketika itu sedang menyandar lesu di tempat duduknya, sesekali kelihatan seolah-olah sedang menyeka air mata.

_______ “Kasihan kan, bu. Jadi adakah kerana sifatnya itu maka kini dia bersendirian begitu? Kalaulah saya manusia, mahu sahaja saya menemannya berbicara,” ujar anaknya pula.

_______ “Ah, manusia begitu rumit jalur kehidupannya. Lebih baik menjadi burung seperti kita. Burung apa?” tak semena-mena ditanyakan soalan itu kepada anaknya.

_______ “Burung murai…”, jawab Murni.

_______ “Burung apa?”

_______ “Burung murai…”

_______ “Burung apa?”

_______ “Burung murailah ibu…”

_______ “Salah, burung murai batu… Sudah banyak kali ibu ajarkan…”, dengus ibunya.

_______ Tiba-tiba gadis di dalam kereta itu kelihatan bercakap seorang diri, sepertinya sedang menyumpah seranah jam di tangannya. Perlahan-lahan, kereta berwarna perak yang dipandunya bergerak meninggalkan taman yang indah itu…

Rujukan:
Definition of Introvert — What is an Introvert?
Marti Laney – Being an Introvert

Advertisements