Monolog

Sejak hari pertama saya melancarkan blog ini, satu tugas telah terbeban di bahu saya. Tidak ada yang membayar, malah tidak ada yang menyuruhpun saya mewujudkan sebuah blog dan update saban hari. Jujur saya katakan, saya tidak tahu ke mana arah tujunya posting saya kali ini tetapi malam ini saya rasakan saya mahu menulis sesuatu. Mungkin tidak untuk anda, mungkin hanya untuk saya. Saya sendiri tidak tahu apa yang ingin saya tulis maka saya biarkan apa sahaja yang terlintas di fikiran saya terzahir dalam bentuk tulisan.

Ada seseorang penah bertanya saya, untuk apa orang menulis blog? Saya terdiam sejenak, mencari jawapan yang saya rasakan saya tahu tetapi sebenarnya saya sendiri tidak pasti. Lalu saya menjawab dengan mengagak-agak sahaja, “Untuk kepuasan diri”. Kemudian dia bertanya semula kepada saya, “Apa puasnya menulis blog?”. Sekali lagi saya terdiam mencari jawapan. Entahlah, mungkin perasaan puas itu ada apabila orang lain faham apa yang kita lalui, apa yang kita fikirkan, dan apa pendapat kita tentang dunia, tentang hidup kita dan orang lain. Bagi seorang pengkarya, rasa puas itu sampai apabila emosi yang kita mahu sampaikan itu ada dalam jiwa insan lain yang menatapnya. Jadi mungkin saya boleh simpulkan; kepuasan menulis blog itu adalah apabila orang lain dapat merasa apa yang kita rasa.

Lisan – adalah suatu kekurangan pada saya. Siapa sahaja yang mengenali saya pasti tahu tentang ini. Saya bukanlah orang yang pandai menuturkan kata-kata. Malah apa yang keluar dari mulut saya hanyalah ayat-ayat lemah yang tidak banyak memberi makna. Gagap; mungkin itu juga merujuk kepada percakapan saya. Tetapi jauh di sudut hati, saya mahu orang tahu tentang apa di minda saya. Masalahnya minda saya sering dipengaruhi oleh hati saya yang merasa. Jiwa saya halus, itu kata seorang saudara saya yang tinggi ilmu metafiziknya. Saya paling tidak mahu menuturkan sesuatu yang boleh menyakitkan hati orang yang mendengarnya, malangnya itulah yang sering berlaku. Maka lebih baik saya diam. Kata-kata tidak seperti aksara yang boleh ditarik balik dengan menekan backspace. Mengapa saya menulis tentang ini? Ini yang terlintas di fikiran saya.

Saya pasti anda perasan bahawa saban hari tulisan saya semakin dipengaruhi Bahasa Melayu yang elok tersusun ejaan dan nahunya. Entahlah, saya sendiri tidak pasti mengapa ini jadinya pada blog yang asalnya ingin saya jadikan tempat saya mempertontonkan karya saya dalam bidang lukisan anime dan manga. Saya menjadi sayang dengan Bahasa Melayu, barangkali setelah melihatkan betapa rakusnya ia dinodai oleh media dan remaja. Dari mata saya, rakyat Malaysia terlalu mengagungkan Bahasa Inggeris hingga terpinggirnya Bahasa Melayu. Jangan salah faham, saya tidak maksudkan yang kita semua sayangkan bahasa bangsa lain hingga mengabaikan bahasa sendiri. Cuma saya rasa Bahasa Melayu kini ibarat kasut selipar. Selipar? Ya, selipar. Sesuatu yang kita pakai setiap hari tetapi kita tidak sayang. Saat kita memakainya kita tidak semegah memakai kasut-kasut mahal yang berjenama, yang kita jaga dengan baik dan kita marah jika ia dicuri. Kita tidak kisahpun jika selipar itu kotor, dan kita malu untuk memakainya di majlis-majlis rasmi. Bahasa Melayu ibarat selipar. Itu analoginya bagi saya.

Kalau sudah bercakap tentang bahasa, pasti perlu disebut tentang PPSMI. Isu hangat masa kini. Anda rasa saya menyokong yang mana? Saya tahu anda sudah membuat andaian. Anda tahu jawapan saya tentang ini. Semasa saya berada di tahun akhir di UTMKL, saya pernah berkerja sambilan sebagai seorang guru tuisyen di Pulapol. Tugas saya mengajar Matematik dan Bahasa Inggeris kepada pelajar Tahun 5, kadang-kadang Tahun 3 dan Tahun 1. Waktu itu saya dapat melihat dengan jelas, apa kesannya PPSMI kepada anak-anak yang baru mengenal dunia. Mereka semua Melayu. Tetapi bila ditanya, “Berapa sisi pada segitiga?”; saya melihat mereka sukar untuk menjawab. Bila dilukiskan segitiga pada mereka barulah terdengar mereka berkata, “Ohh…triangle…”. Anda rasa adakah itu sesuatu yang baik untuk generasi akan datang? Begitu juga dengan adik saya, dia tidak faham apa itu kuasa dua atau punca kuasa dua. Dia hanya tahu apa itu square dan square root.

Saya pasti majoriti yang membaca tulisan ini belajar Matematik seperti saya. Kita diajar dalam Bahasa Melayu ketika sekolah, dan di universiti pula kita belajar Matematik dalam Bahasa Inggeris; dan kita baik-baik sahaja. Saya tidak nampak apa masalahnya di situ. Adakah graduan menganggur kerana mereka belajar Matematik dalam Bahasa Melayu? Entahlah.

Saya tidak sukakan statistik. Ia membolehkan ahli-ahli politik malas itu melihat kehidupan rakyat dari gambaran graf sahaja. Adakah hidup ini semudah itu? Sedangkan setiap manusia itu ada kisahnya. Setiap satu angka dan data dalam graf itu ada rahsia dan deritanya. Ah, sukar pula untuk saya terangkan bahagian ini. Anda fikirkanlah sendiri.

Entah apa yang saya bebelkan malam ini. Cukuplah untuk satu entry… =p

Advertisements