Undecided Story – Episod#1

Sebuah cerita interaktif – Ini idea saya. Penat saya memikirkan cerita, akhirnya saya putuskan biar saya karang cerita dari respons pembaca sendiri. Begini, Saya akan mulakan cerita, dan di akhir cerita ini saya biarkan anda sendiri yang tentukan apa yang akan terjadi pada episod seterusnya. Juga saya sediakan beberapa soalan untuk anda jawab. Soalan saya berbentuk objektif, tetapi pilihan terakhir sentiasa subjektif – anda beritahu saya apa yang anda mahukan.

Ibarat Impian Illyana? Mungkin, tetapi anda tidak perlu SMS kepada saya dan saya juga tidak sediakan sebuah skuter sebagai hadiah apatah lagi ditaja oleh sebuah kilang syampu. Ganjarannya? Barangsiapa yang saya pilih jawapannya, maka namanya akan disebut dalam episod akan datang. Ayuh kita bercerita!

. : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : .

_____ Telefon bimbit di dalam poket bergegar lagi. Pantas diseluknya lalu ditatap alat setongkol itu.

_____ ‘Ham, lama xdenga cite? Ko keja mana skrg? – Sender: Raimy’

_____ Dia mengeluh lagi. Perlahan-lahan, telefon bimbitnya disimpan semula ke dalam poket. Bukan dia tidak mahu membalas, tetapi kreditnya telah melebihi tarikh luput. Hendak ditambah nilai? Ahh… dia mengeluh lagi.

_____Hari semakin panas. Matahari semakin meninggi. Yang ditunggu masih belum tiba. Dia bangun sejenak untuk menghilangkan rasa lenguh yang mula mengusik belakang pinggangnya. Ahh… lambat benar rasanya komuter itu hari ini. Mujur tidak ramai yang menunggu di stesen komuter itu. Mungkin kerana hari itu hari bekerja malah pada waktu pejabat pula. Bosan. Dia duduk semula, menatap lembaran surat khabar yang kian lasam di tangannya.

_____ “Assalamualaikum, nak…” ucap suatu suara halus di sebelahnya. Kelihatan seorang wanita tua berselendang putih sedang merenung tepat ke wajahnya.

_____ “Waalaikumsalam mak cik…” balasnya diikuti senyuman nipis di bibir.

_____ “Sekarang pukul berapa?” tanya orang tua itu. Dia diam sejenak. Apa mak cik tua itu tidak nampak jam digital sebesar dulang di hadapan mereka? Atau dia tidak tahu membaca? Atau jam digital itu sebenarnya tidak wujud dan hanyalah khayalannya semata-mata? Ahh… Mindanya mula membuat andaian aneh lagi. Jika tidak dihentikan pasti akan terus mengkhayalkan yang bukan-bukan waima perempuan tua itu menjadi makhluk asing sekalipun mungkin.

_____ “Pukul berapa, nak?” tanya orang tua itu lagi. Rasa bersalah pula dia membiarkan wanita tua itu menunggu lama.

_____ “Pukul 12.27, mak cik,” katanya.

_____ “Pukul berapa komuter sampai?” tanya wanita berselendang putih itu lagi. Soalannya menguatkan lagi dakwaan hatinya bahawa wanita tua itu tidak nampak jam sebesar dulang di hadapan mereka, atau jam itu sebenarnya tidak wujud.

_____ “Sepatutnya dah sampai pukul 12.20 tadi. Entah kenapa tak ada pula komuternya,” ujarnya pantas, tidak mahu membiarkan wanita tua itu menunggu lagi seperti tadi.

_____ “Oh… komuter ni memang selalu lambat. Nama anak siapa?” soalan mak cik tua itu nyaris membuatkannya tercengang. Apa kaitannya komuter yang lambat dengan namanya? Agaknya mak cik ini ingin berkenalan dengannya dan mencari alasan sahaja dengan bertanyakan soal masa sebagai pemula bicara. Atau mak cik itu ingin mengoratnya barangkali? Hish…

_____ “I… Ilham…” sebutnya tersekat-sekat.

_____ “Sedap nama tu,” senyum mengulas di bibir tua itu. Sudah… Takkan mak cik tua itu ingin mengoratnya pula? Parah ni… Dia tahulah dia memang segak, tapi…

_____ ‘Perhatian para penumpang. Tren ke Rawang akan tiba dalam masa lima minit lagi. Terima kasih.’ Terdengar suara itu berkumandang dari pembesar suara. Huh, lima minit lagi? Ahh… peluh yang menitis di dahinya dibiarkan mengalir membasahi wajahnya. Duduknya dikemaskan. Beg sandang belakangnya ditarik ke hadapan, lalu dibuka dan disimpan surat khabar lasam itu ke dalam begnya.

_____ “Kejap lagi sampailah tu,” ucap perempuan tua di sebelahnya sambil tersenyum. Kata-kata itu tidak berbalas. Dia tidak mahu mengambil risiko bercinta dengan seorang makcik tua yang barangkali buta huruf, atau seorang makhluk asing. Hish…

_____ Aduh… Tiba-tiba perutnya meragam pula. Ahh… kenapa harus rasa itu tiba sekarang? Kenapa tidak 30 minit lepas? Nun, jauh di sana kepala komuter mula kelihatan beranjak perlahan-lahan menghampiri stesen itu. Malang sekali, perutnya tidak mampu memberi pertimbangan.

_____ “Nak kemana pula tu?” tanya wanita tua itu tatkala dia bangun menuju ke arah jejantas.

_____ “Tandas!” jawabnya tergesa-gesa. Pantas dia berlari ke atas jejanjas itu, menuju ke arah tandas di seberang landasan sana. Dari atas jejantas, dia sempat mengerling ke arah wanita tua tadi yang sedang bangun perlahan-lahan dan membuka lipatan tongkat putihnya!

_____ Masyaallah, mak cik itu buta! Rasa bersalah menyendal-nyendal ulu hatinya. Apa punya otak! Fikir yang bukan-bukan lagi! Marahnya pada mindanya sendiri.

_____ Syukur, akhirnya sampai ke pintu tandas awam itu. Duit dua puluh sen dihulur kepada gadis yang sedang duduk di bangku hadapan tandas itu.

_____ “Nanti!” laung gadis itu tiba-tiba sebelum sempat dia membuka pintu tandas di depannya.

Bersambung…

Soalan:

1. Kenapa Ilham menunggu komuter pada waktu pejabat? Ke mana destinasinya?
a) Ke kota, mencari kerja.
b) Melawat kawan di hospital.
c) Suka-suka.
d) Mengambil keputusan SPM.
e) ____________________ (Subjektif)

2. Mengapakah gadis di hadapan tandas itu melaung sebegitu?
a) Tidak cukup 20 sen.
b) Dia bukan penjaga tandas.
c) Tandas itu sedang dibersihkan.
d) Dia kenal dengan Ilham.
e) ____________________ (Subjektif)

3. Mana satukah tandas yang akan dimasuki oleh Ilham?
a) Tandas lelaki.
b) Tandas wanita.
c) ____________________ (Subjektif)

Selamat menjawab! =p

Advertisements