Rasa Dalam Hati Kamu

“Sepi hati terjadi lagi
Mungkin sampai mati
Aku sepi”

——-Lagu sayu itu berkumandang di radio kereta kamu. Kamu memandangnya dalam-dalam. Kalau boleh kamu mahu dia tahu, lagu itu juga sedang bergempita dalam hati kamu. Tapi dia; dia memandang terus ke depan, memusatkan perhatiannya terus kepada jalan. Kamu renung dia lagi. Kamu mahu dia tahu isi hati kamu. Barangkali dia akhirnya tersedar renungan kamu, lalu melihat wajahmu. Serentak matamu bergenang.

——-Ah, kamu terus berpaling. Seolah-olah mahu kamu benamkan sahaja air jernih itu dalam kelopak mata. Namun kamu tak sekuat itu, tidak cukup kuat walaupun hanya untuk menahan air di kelopak mata, lalu ia tetap mengalir. Ah, kamu tidak mahu dia tahu, lalu kamu kesat air itu. Tetapi kamu tetap tahu, dia tahu, namun kamu berdua bungkam.

“Ku percaya cinta harus bersama
Bukan terpisah ke hujung dunia
Kucuba menanti walau lebih lama lagi
Andai kau benar-benar menyintaiku”

——-Dan sebenarnya ibarat kata-kata Yuna, lagu-lagu di radio seolah-olah memerli kamu hari itu. Kamu melihat jam di tangan, 78 minit lagi… Kamu menoleh semula ke arahnya, merenungnya dengan setajm-tajam renungan; kerana kamu tidak mahu lupa wajah itu. Kamu tidak mahu sekali-kali lupa, kerana kamu tahu selepas ini entah bila dapat kamu lihat wajah itu lagi. Kamu berkira-kira, mungkinkah 90 hari lagi kamu dan dia masih bernyawa? Mungkinkah waktu itu kamu masih lagi punya ruang di hatinya? Kamu tidak tahu, maka kamu rebut saat itu untuk merenung wajahnya agar ia lekat dalam memori, cukuplah buat penawar di kala rindu.

——-Entah mengapa masa begitu cepat berlalu. Kamu menyumpah seranah dalam hati pabila tayar kereta kamu mencecah lapangan terbang itu. Sungguh, kalau boleh mahu sahaja kamu hentikan waktu; kerana kamu tak mahu; tak mahu berhenti merenung wajah itu.

——-Lalu dia turun dengan bagasinya dan kamu turut dari belakang. Langkahnya laju, langkah kamu layu. Hati kamu sakit. Kamu sebak. Dia sibuk dengan urusan tiketnya, wajah kamu berkerut menahan sebak. Rasa dalam hati kamu seolah-olah bertempik, mahu sekali menghalangnya dari pergi. Rasa itu seolah-olah mampu membunuhmu. Sungguh, sudah berkali-kali kamu laluinya namun rasa sakit itu tidak pernah kurang. Hati kamu sakit. Kamu sebak.

“Di saat kau benar-benar mahu pergi
Seperti kubernafas dalam air…”

——-Akhirnya dia ucap selamat tinggal kepada kamu. Kamu renung dia lagi. Perlahan-lahan dia pergi… kamu tatapi setiap langkahnya, hinggalah dia hilang dari pandangan kamu, namun kamu masih memandang ke arah itu; lama. Hati kamu sakit. Kamu sebak. Kamu pandang jari manis kamu. Hati kamu masih sakit. Kamu sebak.

——-Sepanjang jalan kamu berdendang; dengan air mata tak tertahan-tahan…

“Semoga kepergianmu tak akan merubah apapun
Semoga mampu kulawan kesepianku…”

Advertisements