Undecided Story – Episod#2

_____“Nanti! Itu tandas perempuan!!!” pekik gadis itu lagi. Ilham berhenti sejenak, mengalih pandangannya ke arah gadis itu.

_____“Eh, Ilham?” ucap gadis itu tatkala pandangan mereka bertembung.

_____ Ya, gadis itu memang dikenalinya. Tetapi dalam keadaan begitu dia tidak mampu berkata panjang, lantas dia hanya tersengih ibarat emoticon Yahoo Messenger sambil mengangkat tangan isyarat kenal, dan terus menerjah tandas yang bertulis “PEREMPUAN” di atas pintu masuknya.

. : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : .

_____ Selesai hajat. Lega rasanya. Gadis penjaga tandas bertudung biru itu dilihatnya sedang tersenyum tatkala dia melangkah keluar dari pusat pelaburan itu.

_____“Maaflah, saya tak perasan awak tadi,” ucap gadis itu sebaik Ilham mengambil duduk di sebelahnya. Ilham tersengih lagi. Dia tidak hairan kenapa gadis itu menegurnya begitu.

_____“Tak apa, aku dah biasa. Wah, dah lama kita tak jumpa kan, Syuda? Kau bagaimana sekarang?” tanya Ilham kepada gadis yang dipanggilnya Syuda itu. Sudah lama betul mereka tidak berjumpa, rasanya kali terakhir ialah ketika mereka mengambil keputusan SPM dahulu… Oh tidak, kali terakhir ialah ketika mereka sama-sama diraikan sebagai pelajar cemerlang SMKTB dahulu… Agaknyalah. Ilham menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

_____“Bagaimana apa?” tanya Syuda pula. Ilham mengerutkan dahinya.

_____“Syuda… Syuda… masih belum berubah kau ya?” kata-katanya berbalas cebikan oleh rakannya itu.

_____Syuda memandang Ilham atas bawah. Uh, Ilham juga masih belum berubah baginya. Masih lagi dengan jeans lusuh, baju kemeja kotak-kotak beralaskan t-shirt kosong, sepasang kasut sukan, dan beg galas yang dipenuhi keychain bergantungan. Entah dari mana dan sejak bila dikutipnya. Lihat pula potongan rambutnya, masih pendek juga seperti dulu.

_____ Syuda menepuk-nepuk bahu rakannya itu lalu berkata, “Awak pun tidak berubah apa-apa, Nurul Ilham Binti Hashimi…”

_____“Amboi, nama ayah aku pun kau masih ingat ya Syaheera Syuhada Binti Shah Erhan?”

_____ Mereka sama-sama ketawa. Ya, Ilham memang seorang perempuan yang suka berpakaian seperti lelaki. Tetapi dia tidak pula bermaksud untuk meniru gaya lelaki, atau menjadi tomboy, apatah lagi pengkid. Dia pakai apa yang dirasakannya selesa. Dia berambut pendek kerana rimas berambut panjang. Cuma entah mengapa suaranya kasar sedikit, dan cara jalannya juga mirip seorang lelaki. Mungkin sudah kurniaan Tuhan… Maka tidak hairanlah di sekolah dahulu dia sering mendapat peminat misteri dari kalangan perempuan dek kerana wajahnya itu yang kelihatan seolah-olah pelakon lelaki Korea yang comel. Comel? Hish…

_____“Syuda, kenapa kau kerja kat sini? Kan kau pelajar cemerlang dulu?” soalan Ilham itu lambat-lambat dijawabnya. Bukan kerana apa, dia sebenarnya sudah bosan ditanya soalan yang sama berulang-ulang kali.

_____“Saya baru berhenti kerja sebagai eksekutif,” jawab Syuda separuh mahu.

_____“Kenapa?”

_____“Bosan”

. : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : .

_____ ‘Perhatian para penumpang. Tren ke Rawang akan tiba dalam masa lima minit lagi. Terima kasih.’ Suara itu berkumandang lagi. Sedap betul rasanya berborak dengan rakan lama hinggakan tidak sedar waktu yang pantas berlalu.

_____Ilham memegang erat tali beg galasnya lalu berdiri, bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada gadis bertudung biru di hadapannya.

_____“Syuda, aku pergi dulu”

_____“Awak nak pergi KL buat apa?”

_____“Jalan-jalan”

_____“Jalan-jalan?”

_____Ya, Ilham hanya mahu jalan-jalan. Dia mahu menikmati zaman mudanya dengan berjalan-jalan melihat indahnya alam. Mungkin tidak semua bahagian alam itu cantik, tetapi pasti ada indahnya. Tidak perlu sebarang kamera untuk merakam keindahan alam yang dilihat, kerana baginya tidak ada lensa yang lebih baik daripada lensa di dalam matanya.

_____“Aku pergi dulu, Syuda… Jumpa lagi,” ucap Ilham sebelum melangkah, tetapi langkahnya terhenti seketika, lalu dia berpaling ke arah gadis penjaga tandas itu.

_____“Mahu kau ikut aku?” Syuda tercengang mendengar ajakan Ilham itu. Mana mungkin…

_____“Tapi… Saya sedang bekerja!” tegasnya sambil menyambut wang 20 sen yang diberikan seorang pengunjung tandas tersebut.

_____Kepala komuter mula kelihatan lagi di hujung sana. Ilham maju setapak dua, merapati Syuda lantas ditariknya tangan rakan itu hingga terbangun dia.

_____“Syuda, hanya orang muda boleh buat perkara yang tidak masuk akal. Kau masih muda bukan?”

Bersambung…

Soalan:

1. Adakah Syuda akan mengikut Ilham berjalan-jalan?
a) Ya
b) Tidak
c) ____________________ (Subjektif)

2. Berapakah umur Ilham dan Syuda?
a) 20-23 tahun
b) 23-25 tahun
c) 25-28 tahun
d) ____________________ (Subjektif)

3. Apakah yang akan Ilham/mereka temui ketika jalan-jalan nanti?
a) Lelaki yang membuang bayi ke dalam tong sampah.
b) Datuk yang baru pulang dari disko dangdut.
c) Harimau.
d) Makcik buta bertudung putih.
e) Ayah Ilham.
f) Siti Nurhaliza Binti Tarudin.
g) ____________________ (Subjektif)