Undecided Story – Episod#3

_____ “Ini semua salah awak!” bentak Syuda. Nafasnya masih lagi turun naik dek kerana semput mengejar komuter. Nasib baik sempat, itupun setelah Ilham menekat punat hijau di tepi pintu komuter agar pintu automatik yang sudah tertutup itu dibuka semula.

_____ “Betullah tu,” ucap Ilham selamba. Perlahan-lahan tubuhnya disandarkan pada tempat duduk komuter yang sudah tentunya dipenuhi kuman dan peluh manusia. Huh, persetankan.

_____ Syuda menghela nafasnya. Ah… bagaimana dia boleh membuat keputusan sebodoh itu? Tanpa berfikir panjang terus sahaja dia mengunci laci meja yang dipenuhi wang bayaran masuk tandas itu, mencampakkan kunci ke dalam pasu bunga, dan berlari mengikut Ilham mengejar komuter di seberang. Bodoh, bodoh, bodoh! Syuda menyumpah-nyumpah dirinya sendiri.

_____ “Relakslah kawan… seronok kan jadi orang muda? Hahaha…” kata-kata Ilham itu menambahkan lagi amarah dalam hati Syuda. Kalau diikut kata hatinya, mahu saja dilempangnya perempuan itu.

_____ “Nasib baik saya pakai Touch `n Go, kalau tak entah macam mana saya nak cari tiket,” dilayur-layurkan kad berwarna biru itu di hadapan muka Ilham seolah-olah Syuda mahu menjampi wajahnya. Ilham hanya diam, memerhatikan indahnya alam yang berlalu laju di luar tingkap.

_____ “Ilham, boleh saya tanya sesuatu?” ujar  Syuda kepada gadis yang sedang melayan perasaan di hadapannya.

_____ “Lima puluh sen,” jawab Ilham yang masih memusatkan pandangannya ke luar tingkap.

_____ “Lima puluh sen?” Syuda pula tercengang-cengang mendengar jawapan itu. “Lima puluh sen apa?” sambungnya lagi.

_____ “Satu soalan lima puluh sen, lima puluh sen…” Ilham menyanyikan lagu lima puluh sen pula dengan jawapannya itu. Entahkan untuk bergurau atau apa, tetapi riak mukanya serius sahaja.

_____Syuda mengetap bibir. Satu soalan lima puluh sen? Itu sudah dikira mahal. Bayaran masuk ke tandas jagaannya pun baru dua puluh sen sahaja. Ah, tak jadilah nak tanya soalan. Lebih baik wang itu digunakan untuk membeli buah jambu potong di luar sana nanti. Emm buah jambu potong dengan kuah rojak Mak Bee… Syuda terliur sendiri melayan imaginasinya.

. : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : .

_____Stesen Kuala Lumpur. Ilham berjalan laju menuju ke arah pintu keluar stesen komuter setelah melekapkan kad Touch n Go miliknya, manakala Syuda berlari-lari anak mengejar sahabatnya itu.

_____ “Ilham! Tunggu!!!” pekik Syuda sambil tercungap-cungap menahan semput.

_____ “Umur baru suku abad dah semput-semput mak cik?” usikan Ilham itu dibalas dengan cebikan oleh Syuda.

_____ “Awak jalan laju sangat! Nak ke mana sebenarnya?”

_____ “Aku nak jumpa harimau…” jawab Ilham selamba. Harimau? Syuda tercengang lagi.

. : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : . : .

_____‘Tit! Tit! Tit!’ bunyi Ilham menekan punat-punat di mesin murah hati itu. Ceh, bank harimau rupanya. Syuda mencebik lagi. Sambil menunggu Ilham, dia membelek-belek majalah hiburan yang dipamerkan di kedai buku bersebelahan bank itu. Terpampang di muka hadapan majalah itu wajah ayu Anis Suria, artis wanita paling popular tahun ini. Manakan tidak, dialah artis pertama yang berjaya merampas takhta Siti Nurhaliza Taruddin sebagai artis wanita paling popular pada anugerah ABPBH dua minggu lepas. ‘Anis Suria sudah bersedia’, demikian tajuk di muka hadapan itu.

_____ “Jom!” ajakan Ilham itu telah membantutkan niat Syuda untuk membaca artikel berkaitan Anis Suria tadi. Lalu majalah yang hampir lunyai itu diletakkannya kembali, diikuti sorotan mata tuan empunya kedai yang memerhatikan perlakuan Syuda sejak tadi.

_____Syuda hanya mampu mengikut ke mana sahaja Ilham pergi, dari celah-celah bangunan Dayabumi hinggalah ke kawasan sesak Pasar Seni. Ikut sahaja, jangan banyak tanya. Satu soalan lima puluh sen.

_____Sedang asyik mereka memerhatikan pelukis-pelukis jalanan di Pasar Seni sedang mempamerkan bakat masing-masing, tiba-tiba Ilham terkaku sebentar, menumpukan pendengarannya ke suatu arah di belakang kedai.

_____ “Syuda, kau dengar tak apa yang aku dengar?” katanya sambil berjalan menuju ke arah longgokan sampah di belakang deretan kedai lukisan tersebut.

_____ “Dengar apa?” tanya Syuda yang hanya memerhatikan Ilham mencari-cari sesuatu di situ. Sayup-sayup, Syuda terdengar bunyi yang diperkatakan Ilham itu. Bayi menangis!

_____ “Hei kau buat apa tu!!!” bentak Ilham tiba-tiba ke arah tong sampah besar di hadapan mereka.

Bersambung…

Soalan :
Apakah yang akan dilakukan oleh Ilham dan Syuda seterusnya? (Soalan subjektif)