Duit Bukai Semua Utai

Ada satu hal yang paling tidak suka saya fikirkan, kisahkan, dan bualkan. Ya, hal tentang wang, duit, atau apa saja yang berkenaan dengannya. Jangan salah faham, bukan saya tidak sukakan wang (siapa yang tidak?) tetapi bagi saya hal itu amat bosan untuk dikisahkan.

Amat berbeza sekali jika dibandingkan dengan ibu saya, seorang yang menghabiskan hampir seluruh hidupnya di bank. Dari kerani, ke pegawai, ke pengurus, dia tetap di tempat yang dipenuhi wang itu. Sudah tentu, hal percakapannya juga tidak pernah lari dari soal wang, hutang, pelaburan, pinjaman, deposit, defisit, debit kredit dan entah apa bala lagi hal-hal yang seangkatan dengannya; hal yang saya paling benci untuk kisahkan.

Barangkali juga saya tidak suka hal itu kerana saya tidak betah dengan angka. Ya, saya tidak suka mengira sungguhpun saya tidaklah bodoh benar dengan ilmu hisab. Cumanya saya malas hendak ambil pusing tentang aturan perkara “berapa”. Seboleh-bolehnya mahu sahaja saya tinggalkan hal mengira itu kepada orang lain.

Itu soal mengira, ini soal wang pula. Ah hati saya menggerutu sendiri melihat sesetengah manusia yang terlalu mengagungkan wang dalam hidupnya, hingga tidak ambil pusing lagi tentang halal haram; asalkan hasilnya duit berkepuk-kepuk; kemudian ditunjuk-tunjuk kepada semua, “Mari ikut saya, kita sama-sama kaya, duduk rumah goyang kaki, duit anda boleh membiak sendiri, cuma saja anda perlu bayar kepada saya dahulu begitu begini”. Ramai yang mengikut, dan ramai yang berjaya. Saya sedar tentang itu, cuma saya sengaja tidak mahu setuju tentang hal itu. Hal duit membiak sendiri berkepuk-kepuk hanya dengan bergoyang kaki. Saya tidak mahu duit seperti itu.

Duit bagi saya hanya alat tukaran sahaja. Saya menguruskan wang dengan cara yang amat mudah, cara timbal-balik ibarat neraca. Jika saya mahu beli ini, saya jangan beli itu supaya saya boleh beli yang ini. Itu sahaja. Eh, saya tak bermaksud cara saya ini betul. Selalu saja saya kesempitan wang dek kerana malas mengira. Sekurang-kurangnya tidak pula saya mati kelaparan atau menyusahkan orang lain, pinjam wang merata, atau hubungi kawan lama semata-mata untuk menariknya masuk ke dalam “skim kehamilan wang”, “piramid duit” atau seangkatan dengannya.

Apapun saya akui dunia kini memang mementingkan wang. Semuanya mahal-mahal belaka, salahkan minyak yang naik harga (atau anda juga boleh salahkan perdana menteri kelima yang tidak pandai mengira). Saya juga mula terkesan dengannya, apatah lagi sejak bermulanya fasa baru dalam hidup saya, yang mana saya perlukan berpuluh-puluh ribu untuk “hal-hal itu” sedangkan pedapatan saya tidaklah seberapa. Ah, sesak rasa dada bila terfikir tentangnya. Alangkah bagusnya jika saya dapat tukarkan kebolehan yang saya ada dengan sedikit wang buat pelega hati jika tidak pun untuk kaya… tapi… apalah yang saya ada. Hanyalah sedikit bakat dalam bidang seni, sedikit ilmu dalam bidang IT, tulisan-tulisan aneh seperti ini dan jiwa yang tidak sekuat mana. Duit… benci saya mahu fikir tentang itu. Barangkali solat sunat dhuha lebih baik dari skim yang bukan-bukan. Oh Tuhan, bukakanlah sedikit pintu rezeki-Mu untukku, atau setidak-tidaknya kuatkanlah hatiku, tenangkanlah jiwaku…

Teringat saya dengan iklan iban kegemaran saya, “Duit bukai semua utai… ingat tok? Auk indai.. ”

*Maaf jika tersalah eja, saya tidak pernah belajar bahasa iban.
*Ini hanya pendapat peribadi saya sahaja, tidak bermaksud menyinggung atau menghasut mana-mana pihak.